MALAYSIAKINI
Satu gambar menunjukkan seorang timbalan menteri Datuk M Saravanan
dengan satu senjata api tersentil di pinggang seluarnya menjadi
perhatian meluas di Facebook hari ini.
Gambar berkenaan dirakam di luar ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur pada
hari Rabu lalu, yang menjadi tempat sidang media Saravanan.
Sidang media itu berlangsung dalam suasana yang dilaporkan tegang.
Sebelum sidang media itu, seramai kira-kira 20 orang individu yang
didakwa diupah oleh pihak lawan Saravanan cuba menyekat beliau daripada
memasuki bangunan berkenaan, yang menimbulkan kekecohan.
Gambar itu juga menunjukkan bahagian pemegang pistol yang diperbesarkan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Saravanan berkata beliau memiliki lesen
untuk pistol jenis Glock itu dan tidak pernah mengacukannya kepada
sesiapa.
"Saya membawa senjata api berlesen sejak 15 tahun lalu atas sebab
keselamatan. Tiada apa masalah. Saya perbaharui lesen setiap tahun.
"Senjata itu biasanya disimpan di dalam kereta saya.
"Tetapi pada hari itu, ia berada dalam sarung dan saya percaya dalam
kekecohan itu kot saya bergerak sedikit yang mendedahkan hulu pistol
tersebut.
“Saya tidak mengacukannya kepada sesiapa,” katanya.
Malaysiakini difahamkan bahawa polis akan berbincang dengan timbalan
menteri itu berhubung cara beliau membawa senjata api tersebut.
Menurut polis, senjata api tersebut perlu dibawa dengan amat
berhati-hati untuk mengelakkan keadaan berbahaya seperti diragut dalam
pergelutan atau sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan