MALAYSIAKINI
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata Putrajaya sepatutnya
menetapkan harga seliter petrol RON95 pada kadar RM1.62 bagi bulan
Februari.
Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Rafizi berkata, angka ini akan
mencerminkan harga pasaran purata petrol RON95 di Malaysia, seperti yang
ditentukan oleh MOPS (Mean of Platts Singapore)
Katanya, jika subsidi dipulihkan, seperti yang digesa oleh PKR, maka harga akan hanya menjadi RM1.32 seliter.
Terdapat spekulasi bahawa harga minyak akan diturunkan pada 1 Februari, selaras dengan kejatuhan harga minyak mentah.
Sumber dalaman industri memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menjangka Putrajaya akan menambat RON95 pada harga RM1.63 seliter dan diesel RM1.62 seliter.
Putrajaya telah memansuhkan subsidi petrol dan diesel bulan lalu selepas
harga minyak mentah mencecah paras paling rendah dalam rekod. Satu
mekanisma harga "apungan terurus" kemudiannya diperkenalkan.
Pada masa ini, harga seliter RON95 ialah RM1.91 manakala diesel dijual pada harga RM1.93 seliter.
Jika RON95 dijual bawah harga RM1.75 seliter, ia akan menjadi jumlah yang paling rendah sejak 2009.
Sementara itu, Rafizi turut mendakwa, Putrajaya telah mengumpul kekayaan
sebanyak RM1.15 bilion bagi "cukai bahan api" berikutan petrol yang
telah dijual melebihi harga pasaran antara bulan Disember dan Januari.
Hujah beliau berdasarkan harga oleh MOPS, kadar pertukaran matawang harian dan data harga penggunaan yang disediakan kerajaan.
Pengiraan yang dibuat naib presiden PKR itu juga mengandaikan, harga
pasaran yang betul untuk satu liter bahan api RON95 telah berubah-ubah
antara RM1.75 dan RM1.49 antara 1 Januari dan 28 Januari.
Manakala, harga pasaran untuk satu liter diesel adalah antara RM1.80 dan RM1.55 semasa tempoh sama.
Bagaimanapun, menurut Rafizi, Putrajaya telah menetapkan harga RM1.91
seliter bagi RON95 dan RM1.93 seliter bagi diesel pada bulan Januari.
Oleh yang demikian, Rafizi yang turut menyediakan pengiraan dari hari ke
hari dalam kenyataan akhbarnya itu menegaskan, pengguna juga secara
berkesan telah membayar "cukai bahan api" kepada kerajaan.
"Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari
harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), BN mendapat durian runtuh dengan
mengutip cukai petrol tanpa diumumkan kepada rakyat," katanya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pandan itu mencabar kerajaan Persekutuan
untuk menyangkal dakwaannya dan mendedahkan formula yang digunakan untuk
menentukan harga bahan api.
Malah, beliau turut mengulangi permintaaannya supaya Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak menghentikan kutipan "cukai bahan api" dan
menubuhkan Tabung Penstabilan Harga Minyak dengan menggunakan cukai
tersembunyi yang telah dikutip untuk digunakan semasa harga petrol dan
diesel dinaikkan.
Beliau turut mencadangkan supaya harga terkini bahan api disemak setiap
minggu bagi mengelakkan rakyat terus membayar jauh lebih tinggi daripada
harga pasaran dan menghentikan cukai tersembunyi akibat perbezaan harga
itu.
"Tindakan mencukai rakyat melalui pembelian petrol dan diesel pada
ketika ekonomi negara semakin teruk melambangkan keterdesakan kewangan
pentadbiran Najib," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan