HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2015

DAP mahu kerajaan beri jaminan tidak henti usaha mencari pesawat MH370

lks-sufi_MG_7500 (572)

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP menuntut kerajaan dan pihak berkuasa agar memberi jaminan kepada ahli keluarga mangsa bahawa Malaysia akan meneruskan operasi mencari pesawat MH370..

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pihak berkuasa negara jelas tidak sensitif dan tidak menghormati keluarga mangsa apabila membatalkan sidang media oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang dijadualkan semalam.

Tegasnya, menerusi tindakan terbabit, jelas pihak berkuasa langsung tidak pernah mengambil pelajaran daripada siri kecuaian dan kegagalan salah urus tragedi MH370 sejak kehilangan pesawat itu 8 Mac tahun lalu.

“Kenapa pihak berkuasa tidak memaklumkan atau berunding terlebih dahulu dengan pihak keluarga mangsa sebelum membuat sebarang pengumuman semalam bahawa MH370 adalah satu ‘kemalangan’ dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dipercayai telah meninggal dunia?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengumuman yang sepatutnya disampaikan oleh Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam satu sidang media pada mulanya dijadual pada jam 3.30 petang tetapi dibatalkan secara mengejut.

Pengumuman tersebut kemudiannya dilakukan menerusi siaran langsung tertutup tanpa kehadiran media atau waris mangsa di mana Azharuddin secara rasmi mengisytiharkan pesawat Boeing 777 tersebut hilang dan kesemua penumpang meninggal dunia.

Cara pengendalian pengumuman tersebut juga mendapat kritikan dari waris dan keluarga mangsa yang menyifatkan DCA tidak memiliki keberaniaan menyatakan kebenaran dan bersikap ‘bermuka-muka’.

“Semua ini bukanlah amalan terbaik dalam pengurusan nahas serta bencana, dan kita diingatkan pula tentang kegagalan pengurusan musibah banjir terburuk dalam sejarah Malaysia yang baru saja berlaku bulan lalu,” katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut berkata, waris mangsa kini risau dan takut bahawa kerajaan serta pihak berkuasa negara terutama DCA sedang cuba melarikan diri daripada tanggungjawab ke atas tragedi MH370.

“Ketiadaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai hanya menambah lagi kebimbangan mereka bahawa pihak berkuasa bakal melepaskan tangan daripada tragedi tersebut.

“Bagaimana Najib dan Liow boleh memberi jaminan kepada ahli keluarga mangsa, negara dan dunia bahawa kerajaan tidak akan putus asa mencari pesawat itu?,” soal Kit Siang. -Roketkini.com

Tiada ulasan: