HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2015

Keluarga MH370 minta DCA tarik balik pengumuman

 
Mengapa DCA boleh mengumumkan perkara sedemikian pada saat pencarian masih belum selesai?


mh370_indo_300


SUBANG JAYA: Waris penumpang dan anak kapal pesawat malang MH370 mahu deklarasi kesemua 239 mangsa yang diisytiharkan terkorban oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada Khamis ditarik balik, lapor Astro awani.

Ia jelas dinyatakan Grace Subathirai, anak salah seorang penumpang MH370, Anne Daisy yang menyifatkan pengumuman itu tidak sah selagi tidak ada sebarang kesimpulan daripada misi pencarian pesawat malang berkenaan.

“Seharusnya ditarik balik, mengapa DCA boleh mengumumkan perkara sedemikian pada saat pencarian masih belum selesai?

“Saya kecewa dengan apa yang berlaku semalam, kami juga tidak dimaklumkan malah tidak diberitahu apa-apa sebelum keputusan mengadakan sidang media itu,” katanya semasa sidang media khas waris MH370.

Pada Khamis, DCA dengan rasminya mengisytiharkan bahawa kehilangan MH370 merupakan satu kemalangan dan kesemua 239 penumpangnya dianggap terkorban.

Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang 40 minit setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 50 rakyat Malaysia.

Sementara itu, situasi sama berlaku di Beijing apabila ahli keluarga penumpang MH370 turut menolak deklarasi yang diumum DCA.

Jurucakap Voice370 juga mendesak kerajaan Malaysia menarik semula kenyataan berkenaan yang disifatkan tidak boleh diumum tanpa sebarang bukti kukuh.

“Kami sudah memberitahu sebelum ini dan hari ini kami mengulanginya kembali, kami bersedia untuk semua kemungkinan termasuk kehilangan anggota keluarga di dalam MH370.

“Namun kami tidak mahu pengumuman kematian ahli keluarga yang berada di dalam pesawat MH370 tanpa sebarang bukti yang kukuh,” katanya.

Jurucakap itu turut memberitahu, kuasa mereka dilihat terlalu terbatas berbanding kerajaan, namun berharap suara mereka didengari dan dipertimbang pihak berkuasa.

“Kami merayu kerajaan Malaysia, China dan Australia agar misi mencari diteruskan.

“Kami meminta agensi lain seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) turut membantu dan meyakinkan misi mencari harus diteruskan sehingga pesawat itu ditemui semula,” jelasnya.

Tiada ulasan: