Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman
 
 
KUANTAN - Solat jenazah ghaib tidak perlu dilakukan untuk penumpang dan anak kapal MH370 yang telah dianggap terkorban.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan semua mangsa meninggal dunia.

Bagaimanapun, beliau berkata, terpulang kepada ahli keluarga untuk mengadakan tahlil dan doa di tempat masing-masing.

“Tiada mayat atau serpihan pesawat  ditemui sebagai bukti mengatakan kesemua 239 meninggal dunia.

“Jika mengikut syarak, mereka diklasifikasikan sebagai ‘Masqud’ iaitu orang hilang yang tidak diketahui tempatnya.

“Oleh itu, apa yang boleh dilakukan kini adalah mendapat keputusan daripada pihak mahkamah sama ada mahkamah syariah ataupun mahkamah tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau turut berpandangan status perkahwinan bagi mangsa yang beragama Islam tidak terbubar walaupun kerajaan mengisytiharkan semua penumpang terkorban.

Menurutnya, bukan sahaja status perkahwinan tidak terbubar, sebaliknya tuntutan harta oleh waris mangsa hanya boleh ditentu selepas mendapat pengesahan mahkamah.