KUALA LUMPUR: Dua hari lalu, tersebar cerita melalui rantaian saluran
media sosial mengenai kes percubaan menculik seorang budak oleh pihak
yang menyamar menggunakan van sekolah.
Van yang dibawa pemandu dengan niat yang mencurigakan itu dilaporkan
tiba pada waktu Subuh di depan rumah di sebuah kejiranan di Cheras jauh
lebih awal daripada biasa.
Mujur, datuk kepada budak sekolah itu mengesyaki sesuatu apabila van
itu kosong sedangkan sepatutnya, giliran menjemput cucunya adalah yang
terakhir dan van itu seharusnya sudah dipenuhi murid lain.
Memetik laporan Astro Awani, datuk kepada murid sekolah itu enggan
membiarkan cucunya menaiki van tersebut, walaupun cuba dipujuk
berkali-kali oleh pemandu van tersebut.
Setelah berlaku sedikit kekecohan, ditambah pula dengan ibu bapa jiran
yang keluar melihat keadaan tersebut, pemandu van itu segera
meninggalkan kawasan kejiranan itu.
Jika tersilap percaturan, modus operandi ‘pemandu’ tersebut mungkin
berjaya dan murid sekolah itu mungkin sudah menjadi mangsa penculikan.
Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM),
Amali Munif Rahmat ada beberapa perkara dan langkah penting yang boleh
diberi perhatian oleh ibu bapa demi memastikan anak-anak mereka selamat
sewaktu pergi dan pulang dari sekolah.
“Merujuk kepada kes tersebut, bas sekolah yang tiba jauh lebih awal
daripada biasa adalah suatu kemungkinan yang sangat jarang atau tidak
mungkin berlaku. Lebih lambat mungkin ada kerana banyak kes budak-budak
sekolah yang lewat bersiap,” katanya.
Selain itu, menurut Amali, ibu bapa atau penjaga perlu ambil tahu
beberapa butiran penting mengenai perkhidmatan bas sekolah yang
didaftarkan untuk dinaiki anak-anak mereka.
Bukan sahaja perlu ambil tahu rupa dan nombor pendaftaran bas, ibu bapa
juga perlu mempunyai nombor telefon tuan punya syarikat perkhidmatan
dan pekerjanya termasuk pemandu bas.
“Dalam kemungkinan lain, jika pertukaran bas berlaku atas sebab
kerosakan lihat pada pemandunya. Pastikan orang yang sama. Jika pemandu
bas bertukar atas sebab sakit atau seumpamanya, lihat pada rupa dan
nombor bas.
“Namun, selalunya perkhidmatan bas sekolah ini tidak hanya ada seorang
pemandu, malah disertai seorang lagi pekerja syarikat perkhidmatan
tersebut.
“Maka, ibu bapa perlu mengenali wajah mereka sewaktu mendaftar,” jelas
Amali sambil menambah pihak pengusaha perlu memberitahu ibu bapa lebih
awal jika berlaku sebarang pertukaran tertentu.
Begitupun, kata Amali, adalah sukar bagi pihak pengendali bas sekolah
untuk menukar pemandu bas sesuka hati. Mereka perlu dilatih selama
berbulan-bulan untuk diuji skil memandu, mengenal laluan perjalanan
sebelum disahkan bekerja dan diperkenalkan kepada ibu bapa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan