Oleh Nurshakira Buang
GERIK: Kehidupan lebih 250 Orang Asli bakal terancam jika tindakan tegas tidak diambil terhadap syarikat balak yang menjalankan kerja-kerja pembalakan di hutan sekitar Tasik Temenggong, Gerik, Perak secara sembrono tanpa mengira sumber kehidupan masyarakat itu.
Kini terdapat lima penempatan Orang Asli di sekitar kawasan itu dan mereka sudah menduduki kawasan berkenaan lebih 20 tahun serta hutan satu-satunya sumber kehidupan mereka.
(Setiap penempatan mempunyai lapan keluarga yang terdiri enam hingga tujuh ahli keluarga).
Masalah dihadapi masyarakat Orang Asli ini terbongkar selepas lawatan misi bantuan banjir Persatuan Kakitangan Akademik UIAM ke penempatan itu baru-baru ini.
Seorang peserta misi, Prof. Dr. Nor Faridah Abdul Manaf, Timbalan Dekan Pusat Penyelidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) khuatir dengan nasib masyarakat Orang Asli itu jika sesuatu tindakan tegas tidak diambil oleh pihak berkuasa.
Katanya, jika kegiatan pembalakan itu tidak dipantau serta tiada tindakan tegas diambil, tidak mustahil banjir besar yang melumpuhkan Pantai Timur baru-baru ini turut berlaku di penempatan Orang Asli ini.
"Disebabkan punca pendapatan mereka daripada hutan telah diganggu... dan disebabkan oleh pembalakan mereka hilang punca pencarian.
"Punca pendapatan mereka terjejas kerana aktiviti pembalakan dan syarikat-syarikat pembalakan ini enggan bertanggungjawab bila minta bot tak dapat tak bagi...semua serahkan kepada kerajaan.
"Tak mustahil (banjir besar di Kelantan boleh berlaku) kalau tidak diambil tindakan selebihnya," katanya kepada pemberita yang menyertai misi bantuan ke Pulau Banding, Gerik, Perak, semalam.
"Satu perkara yang perlu kita lihat dan kita sama-sama bekerjasama untuk membantu mereka bukan sahaja daripada pihak kerajaan saja tetapi syarikat pembalakan harus datang dan bertanggungjawab sebab mereka yang merosakkan alam sekitar dan membuat penduduk di sini sukar mencari makan," katanya.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab tidak lagi boleh berselindung kerana satelit telah merakamkan segala aktiviti penggondolan hutan dikawasan tersebut.
"Kalau kita tengok satelit pun banyaklah dan bukan sahaja di Perak, di Pantai Timur di sebelah Kelantan dan Pahang begitu juga. Jadi, sampai bila perkara ini harus didiamkan.
Sementara itu ketua misi, Presiden Persatuan Akademik UIA, Dr Mazlee Malik berkata pihaknya menyeru semua pihak untuk bangkit menentang pembalakan haram yang berlaku di negara ini sekali gus menjadi faktor utama terhadap banjir besar di Pantai Timur akhir Disember lalu.
"Kami berharap dalam usaha kami membantu mereka ini kita dapat juga mencelik hati dikalangan pelajar, anak muda, dikalangan kakitangan akademik bukan sekadar di UIA tetapi di seluruh Malaysia malah di peringkat antarabangsa untuk bangkit bersama-sama menentang pembalakan haram yang telah menyebabkan banjir yang diluar jangkaan.
"Dan kami berharap akan muncul lagi ramai environmentalist dikalangan masyarakat, dikalangan warga sivil, dikalangan pelajar dan kami mengharapkan pihak media dapat bersama-sama membantu dan kami mengharapkan warga sivil, orang-orang muda, dikalangan pelajar, pekerja, golongan cerdik pandai akan bangkit untuk menentang dan juga memulakan satu gelombang menentang segala pembalakan haram yang ada di Malaysia ini.
"Dan kita juga harapkan ia menjadi gelombang di peringkat antarabangsa," tambahnya.
Akhir Disember lalu lebih 80,000 jumlah mangsa banjir di Kelantan dipindahkan apabila keadaan semakin buruk hingga beberapa daerah terutama di Gua Musang dan Kuala Krai hampir lumpuh.
Sekurang-kurangnya 10 rumah hanyut di Gua Musang, manakala berpuluh lagi kediaman rosak dalam keadaan banjir yang paling buruk melanda seluruh Hulu Kelantan yang berlarutan sejak beberapa hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan