HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Januari 2015

'Ke parlimen lebih baik dari bertengkar, DAP'

MALAYSIAKINI


 


Pergeseran antara PAS dan DAP berpanjangan apabila masing-masing terus menyalahkan dan mencabar antara satu sama lain.

Hari ini Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula masuk gelanggang dengan meminta DAP membawa isu pilihan raya tempatan ke parlimen.

Seperti hasrat PAS dalam isu hukum hudud, Tuan Ibrahim berkata, DAP juga harus mengemukakan rang undang-undang persendirian berhubung perjuangan mereka itu.

“Akhirnya, membawa (isu) pilihan raya tempatan ke parlimen ini adalah jauh lebih baik dari bertengkar di media, dan mencemuh mereka yang melahirkan kebimbangan terhadap kesan negatif pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya.

Pergeseran antara dua parti dalam Pakatan Rakyat itu tercetus kembali apabila PAS mahu mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud.

PAS juga merancang mengemukakan rang undang-undang persendirian ke parlimen selepas sidang itu – yang bagaimanapun tergendala ekoran banjir besar melanda negeri itu.

'Mungkin ada MP PAS sokong'

DAP antaranya menolak usaha itu kerana ia bukan persetujuan bersama Pakatan.

Bagaimanapun, ketika redanya ombak banjir, hubungan kedua-dua parti itu sebaliknya kembali panas apabila PAS membangkitkan bahawa agenda DAP juga bukan persetujuan bersama Pakatan.

Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim berkata, Jika DAP yakin bahawa pilihan raya kerajaan tempatan menyuburkan demokrasi, ia harus dibentang di parlimen, sebagai sebahagian amalan demokrasi.

Katanya, oleh kerana PAS bersedia dengan risiko ditolak dan ditentang oleh rakan Pakatan ekoran agenda hudud mereka, DAP juga harus bersedia untuk kemungkinan sama.

“Tapi, membawa perkara ini ke parlimen adalah lebih baik bagi DAP kerana kebarangkalian akan ada ahli parlimen PAS yang akan menyokong pilihan raya kerajaan tempatan adalah lebih tinggi daripada kebarangkalian adanya ahli parlimen DAP yang akan menyokong hudud,” katanya.

Tiada ulasan: