KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR - Masih belum terlewat untuk tertuduh kedua kes bunuh Altantuya Shaariibuu, Koperal Sirul Azhar Umar membela diri dan mendedahkan siapa dalang sebenar di sebalik pembunuhan wanita itu.
Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penahanan Sirul oleh pihak berkuasa Australia pastinya akan menggusarkan pihak tertentu yang pernah dikaitkan dengan pembunuhan kejam berkenaan.
“Sudah pasti penahanan tersebut akan membuatkan pemimpin negara terutama Perdana Menteri yang sebelum ini ada dikaitkan dengan kes tersebut ‘panas punggung’.
“Beliau mempunyai peluang untuk membersihkan dirinya, kita berpendapat tidak mustahil individu sebenar di sebalik pembunuhan tersebut akan didedahkan,” tegasnya seperti dilapor akhbar Suara Keadilan.
KEADILAN sebelum ini mempersoalkan motif sebenar pembunuhan wanita berkenaan yang tidak dijelaskan dalam penghakiman mahkamah.
Sementara itu, Harakahdaily melaporkan ibu Sirul, Piah Samat, 74 bahawa Sirul dianiaya dan menegaskan anaknya itu hanya menjalankan tugas sebagai anggota polis.
“Tak tahulah, hanya tuhan yang tahu hati makcik, makcik hanya berdoa kepada Allah minta dia selamat,”
“Lepas sembahyang makcik berdoa, ingat pada yang Satu (Allah), nak minta tolong pada siapa lagi,” beliau dipetik sebagai berkata.
Harakahdaily juga melaporkan Piah sebagai berkata, sejak gambar anak keempat daripada lapan adik beradik itu didedah, penduduk kampung sekitarnya datang memberi sokongan.
“Tapi ada juga yang kata macam-macam, ada yang kata dia kena bayar sedangkan dia tak dapat apa pun hingga makcik jadi malu nak jumpa orang,” katanya sambil menitis air mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan