SELANGOR KINI
SHAH ALAM : Kerajaan Negeri memandang serius kejadian kanak-kanak jatuh dari tingkat 6 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara dengan mengarahkan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd (PHSSB) melaksanakan kerja membaikpulih.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata kerja baik pulih itu dilaksanakan dengan segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Untuk Belanjawan 2015, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk membaikpulih PPR tersebut oleh Kerajaan Negeri,” kata Iskandar dalam kenyataan media.
Beliau mengucapkan takziah kepada Norsahura Sahara Mohamad di atas kehilangan anak beliau, Adik Muhammad Hazriq Danish Ain Alden yang telah kembali ke rahmatullah setelah terjatuh dari tingkat 6.
“Saya telah menziarahi beliau pagi tadi dan dapat merasakan kesedihan yang dilalui oleh beliau sekeluarga,” katanya.
Iskandar berkata, PHSSB adalah syarikat milik Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).
“Ia telah mengambil alih penyelenggaraan PPR itu dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak 2013,” katanya.
Katanya, Kerja disenaraikan adalah membaikpulih lif, paip air dan ‘railings’ di balkoni dan tangga. Kerja-kerja membaikpulih itu akan dimulakan secepat mungkin.
“Untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin, LPHS akan juga menjalankan pemeriksaan ke atas semua PPR di Selangor dalam masa yang terdekat,” katanya.
Iskandar berkata sebelum ini, dalam 2012 sebanyak 12 buah lif dan 8 buah pam air telah dibaikpulih atau diganti dengan kos lebih RM 1.16 juta di PPR Kota Damansara.
“Sementara untuk PPR Putra Damai, Lembah Subang sebanyak 17 lif dan 16 pam air telah dibaikpulih atau diganti dalam tahun tersebut dengan kos lebih RM1,9 juta,” katanya.EZY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan