MALAYSIAKINI
Kajian semula ke atas Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia 1998 (ASKMM 1998) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM
1998) menjadi keutamaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) pada tahun ini, kata pengerusinya, Datuk Seri Dr Halim Shafie.
Menurutnya, kajian semula itu yang dijangka siap menjelang pertengahan
tahun ini, disasar untuk dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun
ini. Kajian semula bertujuan untuk mempertingkat tadbir urus dalam SKMM
melalui pemisahan peranan Ketua Eksekutif daripada peranan Pengerusi.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek berkata, usaha tersebut akan memastikan wujudnya kesinambungan
dan pengimbangan tanggungjawab dalam organisasi berkenaan.
Ketika ini, Dr Halim menghitung hari untuk melaksanakan tugas-tugas
tertentu yang telah diberikan kepadanya oleh Ahmad Shabery apabila
beliau bersetuju untuk keluar daripada tempoh persaraan untuk menerajui
semula SKMM.
Tempoh perkhidmatan selama dua tahun Dr Halim sebagai Pengerusi MCMC bermula pada pertengahan Januari lalu.
"Dua tahun bukanlah satu tempoh yang sangat lama," kata Dr Halim semasa
Sesi Ramah Mesra Bersama Media yang dianjurkan oleh beliau untuk
editor-editor media tempatan di ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, hari ini.
"Turut terkandung dalam senarai keutamaan Menteri kepada saya ialah
keinginan melihat suatu alam siber yang mana rakyat Malaysia boleh
berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain secara positif.
"Sepanjang tempoh 15 tahun yang lalu, sejak AKM 1998 mula dikuatkuasakan
dan Malaysia memberikan fokus kepada aspek penumpuan (convergence),
begitu banyak perkara yang telah berubah. Kita telah mencapai tahap di
mana kita mempunyai rangkaian di merata-rata tempat. Justeru, penekanan
perlu diberikan kepada aspek kandungan," kata Dr Halim.
"Kita ingin melihat keleluasan rangkaian ini digunakan secara positif
dari aspek sosial agar kemudahan internet meluas mendatangkan kesan yang
membina kepada negara melalui persekitaran yang kaya dengan kandungan
dan aplikasi.
"Malah, dengan infrastruktur yang dibangunkan, utiliti kandungan menjadi
lebih kritikal dan kami perlu mengisi ruangan dalam sektor-sektor
seperti kewangan, kesihatan dan pendidikan. Hal ini memerlukan tahap
integriti dan keselamatan yang tinggi
dalam sistem rangkaian kami yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.”
Malaysia merupakan salah sebuah negara pertama di dunia yang mengamalkan
aspek penumpuan apabila AKM 1998 diluluskan oleh Parlimen.
Dr Halim bersetuju dengan pandangan Ahmad Shabery bahawa kajian semula
AKM 1998 bukan hanya bertujuan mencipta sebuah dunia maya yang sihat
tetapi juga persekitaran siber yang holistik lagi sihat menyedari
perkhidmatan komunikasi dan multimedia bukan sahaja boleh mempengaruhi
ekonomi bahkan juga budaya dan tradisi.
"Jika perubahan perlu dibuat kepada undang-undang, perubahan tersebut
harus memberikan tumpuan kepada usaha merangsang lagi pertumbuhan
kreativiti, inovasi dan kandungan, di samping mewujudkan dunia maya yang
sihat untuk kerajaan dan pembangunan industri," tegas Dr Halim.
Sebelum ini, Ahmad Shabery telah mengumumkan penekanan yang lebih
menyeluruh akan diberikan kepada aspek pendigitalan untuk negara. Beliau
juga berminat untuk meneruskan inisiatif digital yang akan merangkumi
prasarana keras dan mudah.
Dr Halim berkata, "Menteri adalah betul untuk mengatakan negara
memerlukan pendigitalan jika mahu terus berdaya-saing sebagai sebuah
negara. Oleh itu MCMC akan memberikan tumpuan kepada pembangunan dan
utiliti kandungan secara khususnya. Sudah tentu, kita perlu sentiasa
memantau isu-isu seperti kualiti, kelajuan dan kemampuan."
"Apa yang perlu kita lakukan ialah memanfaatkan keleluasaan tersebut.
Utiliti kandungan perlu ditingkatkan kerana masa depan penyampaian
perkhidmatan awam bergantung kepada hal ini dan ia akan memberi impak
yang cukup besar kepada rakyat. Nescaya, ini akan meningkatkan
persekitaran siber yang sihat. Apa yang perlu kita lakukan adalah
memastikan dunia maya kita sihat dan selamat untuk kerajaan, industri
dan rakyat," katanya.
"Kami sedar akan potensi perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia dalam
pembangunan negara dan oleh sebab itu, kita perlu sentiasa menyemak
semula rangka kerja kawalselia supaya ia sesuai untuk semua pihak, dari
semua sudut dan perspektif."
"Biarpun tugas ini kelihatan sukar dan mustahil, kita perlu meramal masa
depan dan melihat melewati tahun 2020 khususnya dari segi peranan
perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia,” tambahnya lagi.
Sebelum pelantikan semula sebagai Pengerusi SKMM, Dr Halim, 65,
merupakan Pengerusi Telekom Malaysia, jawatan bukan eksekutif yang
disandang beliau selama hampir enam tahun selepas tempoh perkhidmatan
beliau dengan SKMM berakhir.
Dr Halim pernah berkhidmat sebagai Pengerusi SKMM dari April 2006
sehingga Mei 2009. Sebelum itu, Dr Halim merupakan Ketua Setiausaha
Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi selama enam tahun.
Ketika ditanya mengenai perasaan beliau apabila dilantik sebagai
Pengerusi MCMC buat kali kedua, Dr. Halim menjelaskan, “ia merupakan
satu tempoh yang sukar dan beliau agak berhati-hati pada beberapa hari
pertama perkhidmatan.
"Namun saya tahu saya mendapat sokongan daripada pegawai-pegawai MCMC
yang kebanyakannya pernah berkhidmat bersama-sama dengan saya semasa
pelantikan terdahulu. Saya berterima kasih kerana diberikan peluang
untuk menyumbang semula kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor ini.
Tambahan pula, adalah sukar untuk saya untuk mengatakan tidak kepada
Menteri,” kata Dr Halim.
Tempoh perkhidmatan Dr. Halim sebagai Pengerusi SKMM adalah dari Januari 2015 sehingga Januari 2017.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan