Datuk Abdul Rahman Dahlan Datuk Abdul Rahman Dahlan
 
 
PUTRAJAYA - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan menafikan wujudnya krisis antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, kritikan yang dilontarkan Dr Mahathir hanyalah sebagai pandangan membina kepada kerajaan.

"Sebagai MT Umno, saya merasakan pandangan beliau (Mahathir) sebagai  pandangan membina.

"Walaupun pedas dan kadang-kadang kita tidak setuju, tetapi kerajaan yang ada di bawah pimpinan Najib adalah kerajaan yang terbuka untuk kritikan," katanya dalam  sidang media selepas Majlis penjenamaan semula Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam(PPSPPA) kepada Solid Waste Corporation.

Sebelum ini, krisis antara dua kem itu juga seolah-olah ‘disahkan’ apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga MT Umno, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyebut beliau bersedia jadi orang tengah untuk menyelesaikan perbalahan antara dua kem itu.

 [ARTIKEL BERKAITAN: Menteri: Berdamailah Dr Mahathir, Najib]

Ulasnya lagi, jika kritikan itu kena pada tempatnya dan mempunyai asas, kerajaan akan berlapang dada dan membaikinya seperti yang disarankan Mahathir.

"Tetapi kalau nak dikatakan krisis berlaku, itu tidak betul. Kalau kita lihat dalam majlis tertentu, kita dapati mereka boleh bercakap duduk bersama-sama dan berbincang.

"Semua ini profesional. Saya tidak fikir ini isu besar," ujarnya.