HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Januari 2015

PAC tidak akan panggil 1MDB

FREE MALAYSIA TODAY

PAC berpendapat kedudukan kewangan 1MDB belum berdepan dengan sebarang masalah memandangkan ia sudah diaudit firma audit antarabangsa.


Nur_Jazlan_Mohamed_300x200


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum bercadang memangggil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menjawab persoalan mengenai pelaburan dan operasi syarikat itu kerana prestasi kewangannya sudah diaudit firma antarabangsa terkemuka.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata bagaimanapun pihaknya menyambut baik jika Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB yang baharu, Arul Kanda Kandasamy mahu hadir secara sukarela bagi memberikan penjelasan di hadapan PAC.

“Kami tidak akan memanggil 1MDB, bagaimanapun jika Arul Kanda mahu hadir secara sukarela bagi memberikan penjelasan di hadapan PAC…ia sesuatu yang amat dialu-alukan,” katanya dalam kenyataan di sini, lapor Bernama.

Beliau berkata setakat ini, PAC berpendapat kedudukan kewangan 1MDB belum berdepan dengan sebarang masalah memandangkan ia sudah diaudit firma audit antarabangsa, dan belum ada bukti kukuh syarikat berkenaan menghadapi sebarang masalah.

1MDB, syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia, pada 13 Jan lepas memaklumkan telah menebus semula sepenuhnya US$2.318 bilion yang dilaburkan oleh syarikat itu dalam dana berdaftar di Kepulauan Cayman.

Arul Kanda dalam kenyataannya berkata dana itu merupakan pembayaran semula pinjaman yang disediakan kepada PetroSaudi pada 2011 dalam bentuk nota-nota Murahaba susulan penamatan perjanjian sebelum ini yang dimeterai untuk menjalin usaha sama dengan syarikat itu.

Nota-nota berkenaan yang dibayar sepenuhnya dan faedah, kemudian dilaburkan dalam dana yang dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Monetari Cayman.

Sebelum ini, 1MDB menebus US$1.215 bilion yang mewakili 60 peratus dana yang dilabur, dan kini menebus tambahan US$1.103 bilion yang membabitkan baki daripada sejumlah US$2.318 bilion yang dilaburkan pada asalnya.

Nur Jazlan berkata PAC belum berpeluang membincangkan mengenai isu 1MDB secara rasmi dalam mesyuaratnya dan belum bercadang memanggil syarikat berkenaan bagi memberikan sebarang penjelasan.

Tiada ulasan: