HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Januari 2015

“Aktiviti kebajikan pun kena GST”

zairil_steven_sim

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak lagi mendapat pengecualian apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1 April nanti, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, perkara tersebut dinyatakan melalui Garis Panduan Pertubuhan dan Organisasi oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan semua aktiviti kebajikan akan dikenakan cukai 6 peratus.

Menurutnya, sebagai contoh bagi derma berbentuk wang tunai, hanya sumbangan ‘tanpa sebarang faedah’ kepada penderma tidak dianggap sebagai pembekalan bercukai dan tidak dilindungi GST.

Namun, sumbangan wang tunai tersebut akan dikenakan GST jika ia memberi manfaat kepada penderma, contohnya mengiklan, mempromosi nama penderma, penaja atau produk di buku program.

“Ini menimbulkan banyak kebimbangan kerana amalan tersebut merupakan perkara biasa di Malaysia, terutama melibatkan penaja korporat.

“Sepatutnya kerajaan menyalurkan peruntukan kepada NGO, sebaliknya mengambil keuntungan dari mereka,” katanya sidang media bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong di Ibu Pejabat DAP, petang tadi.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan, badan kebajikan yang mahu menganjurkan kutipan dana turut dibebani kos operasi tinggi kerana perlu menyediakan rekod atau akaun bekalan penuh jika berhasrat memohon bantuan GST.

Katanya, pelepasan cukai pula hanya terhad kepada empat kutipan sahaja setiap tahun dengan kadar lazim GST akan dikenakan jika melebihi empat kali.

“Adalah jelas GST pada dasarnya akan menjadikan aktiviti kebajikan dan operasi kebajikan menjadi lebih mahal sekaligus tidak menggalakkan sumbangan dan memburukkan lagi situasi kekurangan wang badan-badan tersebut.

Sementara itu, Steven menyataka GST akan mewujudkan beban cukai tambahan dan tidak perlu ke atas NGO serta badan kebajikan berskala kecil.

“Keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka mengalami masalah aliran tunai daripada pengurangan potensi sumbangan, ditambah kos operasi akibat keperluan mengupah akauntan profesional dan berdepan proses kompleks merekod input mahupun output kredit cukai,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: