Jika saya masih kecil
(kanak-kanak) dan ibu saya masih muda membimbing dan membesarkan saya dengan
cara yang betul pastinya ibu saya akan masuk penjara kerana kanak-kanak seperti
saya tentunya akan dirotan kerana berbagai-bagai masalah kanak-kanak. Nasib baiklah
saya dilahirkan lebih dari 60 tahun dahulu dan semasa itu merotan kanak-kanak
bukan lagi menjadi kesalahan dan boleh dipenjarakan.
Undang-undang yang sedang digubal
oleh pihak kerajaan sekarang melarang merotan kanak-kanak itu merupakan usaha
yang sia-sia. Itu bukan caranya untuk membentuk nilai keibuan dan kebapaan dan
nilai baik untuk seorang anak berhubung
dengan ibu bapa mereka. Agama kita memerintahkan kita mengajar dan
membuatkan anak kita mendirikan solat dalam jangka usia kanak-kanak itu tujuh
tahun dan jika dia enggan adalah diminta untuk ibu atau bapa merotan anak-anak
kita itu secara yang betul.
Ibu bapa bukannya membelasah
anak-anak mereka tetapi merotan anak-anak yang engkar mendirikan solat itu
kerana adalah tanggungjawab ibu bapa yang menentukan samada anak-anak mereka
itu yahudi atau nasrani. Cakap ini bukan cakap saya yang lemah ini, tetapi itu
adalah cakap agama kita.
Jika anak-anak tidak takut pada
sesiapa kepada siapakah mereka akan merasakan ketakutan untuk melakukan
kesalahan?
Saya yang sudah berumur ini
sentiasa ingat kepada ibu bapa saya yang kedua-duanya sudah tiada di dunia ini.
Saya hanya mendoakan sentiasa tanpa henti-henti agar roh mereka berada dalam
kumpulan roh yang terampun dan sentiasa berada sebaris dengan roh-roh
aulia-aulia dan syuhada.
Salah satu dari perkara yang
membuatkan ingatan kepada ibu bapa saya yang telah pergi itu ialah kerana
teguran dan didikan mereka yang salah satunya ialah tindakan mereka merotan
saya semasa saya dalam bimbingan mereka setiap kali saya melakukan kesalahan.
Ibu bapa dahulu kala, apabila
menghantar anak-anak mereka kepada guru mengaji quran, akan membawa bersama
anaknya itu sebatang rotan halus untuk diberikan kepada guru quran itu.
Sekarang sudah diamalkan lagi. Semasa menyerahkan anak-anak mereka kepada guru
quran, ibu bapa semasa itu akan berpesan kepada guru atau ustaz itu dengan
berkata lebih kurang begini; “ sayo sorahkan anak sayo ni tuan haji.
Bimbinglah anak sayo ini sehingga pandai mengaji. Kalau dio dogil inilah rotannya.
Rotanlah asalkan jangan patah atau pun tiyek”
Begitulah keadaannya dalam mana
rotan itu sememangnya tidak boleh jauh dari anak-anak yang sedang dibimbing
itu. Saya sendiri bersama dengan rakan seangkatan dengan saya tidak pernah lari
dari melakukan kesalahan dan tiada seorang pun yang terlepas dari kena rotan
oleh guru-guru sekolah kami.
Merotan itu bukan sahaja dianggap
sebagai proses pendidikan seseorang itu tetapi ianya telah menjadi budaya dalam
proses pembesaran kanak semasa itu. Guru-guru sudah tidak boleh merotan lagi
dan kita lihat perbezaan seorang kanak-kanak sekarang dengan kanak-kanak dahulu
kala. Mungkin saya masih dianggap kuno tetapi itulah yang menjadikan ramai
anak-anak seorang ‘menjadi orang’ apabila sudah dewasa.
Malahan sekarang ini orang dewasa
pun memerlukan rotan itu. Jika dahulu kala anak-anak memerlukan rotan untuk
memperbaiki diri mereka, sekarang ini orang dewasa pun memerlukannya
terutamanya yang mempunyai kelakuan dan moral yang tidak baik seperti pemimpin
politik yang menganiaya rakyatnya.
Pendeknya rotan ini sangat perlu
untuk semua orang, baik yang masih kanak-kanak mahu pun yang sudah mempunyai
anak-anak dan cucu. Rakyat kita tahu siapa yang sepatutnya dirotan kerana salah
laku terhadap negara kita ini. Itu sebabnya masing-masing menuduh di antara satu
dengan lain kerana hendak mengelakkan dirotan oleh rakyat.
Saya sarankan agar niat untuk menjadikan
merotan anak-anak atau kanak-kanak itu satu kesalahan supaya dibatalkan sahaja.
Banyak perkara lain yang perlu dilakukan sebelum kita fikirkan untuk menggubal undang-undang
menjadikan merotan itu satu kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan