HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Januari 2015

Proses bawa pulang Sirul bakal lebih rumit, kata Wan Junaidi

OLEH MD IZWAN


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata terdapat barisan peguam yang sudah bersedia memberi khidmat guaman kepada Sirul Azhar Umar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Januari, 2015.Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata terdapat barisan peguam yang sudah bersedia memberi khidmat guaman kepada Sirul Azhar Umar. – Gambar fail The Malaysian Insider

  

Usaha untuk membawa Sirul Azhar Umar pulang ke Malaysia akan lebih rumit selepas beliau kini dikatakan sudah mempunyai peguamnya sendiri di Australia, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Timbalan menteri dalam negeri itu berkata, sumber maklumat diperoleh memberitahu, terdapat barisan peguam yang sudah bersedia memberi khidmat guaman kepada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) tersebut.

"Saya pun dah dengar juga, pihak tertentu mengumpul beberapa peguam bagi membela supaya Sirul (gambar) jangan dibawa balik ke Malaysia untuk dihukum gantung," katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas mengenai status Sirul.


Wan Junaidi tidak menolak kemungkinan besar prosiding pendengaran di Mahkamah Australia akan berlaku dan kerajaan Malaysia akan terpaksa mengikut proses undang-undang di negara tersebut dalam usaha membawa balik Sirul.

 "Kalau ini berlaku, satu perbicaraan di mahkamah di Australia akan dilaksanakan, kita tidak boleh tentukan, terserahlah kepada keputusan mahkamah tersebut dalam kes ini nanti," katanya.

Buat masa ini, Wan Junaidi berkata, kerajaan akan mengambil keputusan tunggu dan lihat sebelum memutuskan langkah seterusnya.

"Sebab itu kita berdiam diri sekarang ini, sebab pelaksanaan ini ialah proses undang-undang antarabangsa," katanya.

Sirul dan seorang lagi anggota UTK, Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul dan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.

Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Bagaimanapun, Sirul, 43, tidak hadir di mahkamah ketika keputusan dibuat dan beliau kemudiannya disahkan melarikan diri ke Australia dan berada di Brisbane. Susulan itu, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.

Media Australia melaporkan beliau ditahan kerana kesalahan imigresen. Menurut The Sydney Morning Herald, dia mungkin boleh ditahan di pusat tahanan Sydney untuk selama-lamanya.

Malaysia dalam keadaan terikat kerana undang-undang Australia tidak membenarkan ekstradisi seseorang penjenayah jika dia berdepan hukuman mati.

Putrajaya memohon perintah ekstradisi bagi Sirul tetapi ditolak. Australia merupakan antara negara yang tidak mempunyai peruntukan bagi hukuman mati dalam undang-undangnya.

Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan cuba membawa Sirul ke mahkamah di Australia jika negara tersebut terus menahannya dari diekstradisi.

Peguam Sirul dari Malaysia, Kamarul Hisham Kamaruddin, dilaporkan semalam berada di Australia ketika ini bagi mendapatkan pembebasannya dari pusat tahanan imigresen itu.

Sebuah portal berita memetik beliau mengatakan anak guamnya akan perlu mengupah peguam yang berkelayakan bagi membelanya di Australia sekiranya permohonan ekstradisi itu dibawa ke mahkamah.

Tiada ulasan: