MALAYSIAKINI
Mejar Zaidi Ahmad kembali menerima gajinya untuk bulan Januari pagi ini,
sehari selepas berita gajinya 'ditarik balik' Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) pada 22 Januari lalu disiarkan Malaysiakini semalam.
Menurut Zaidi, pada awal pagi ini beliau menerima mesej dari pegawai
gaji pangkalan TUDM Butterworth yang memaklumkannya tentang perkara
tersebut pagi ini.
Pegawai itu memanjangkan mesej dari Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT)
Kuala Lumpur yang memaklumkan terdapat 'kesilapan' dalam urusan gaji
beliau sebelum ini.
"Sekitar jam 10 pagi tadi saya terima panggilan dari ketua cawangan
tadbir pangkalan udara Butterworth memberitahu yang beliau diarahkan
untuk memberitahu saya yang gaji saya sedang dalam proses dimasukkan
semula," kata Mejar Zaidi.
Menurut Zaidi, semakan akaun banknya pada jam 12 tengah hari tadi mendapati gajinya sudah dimasukkan semula.
"Terima kasih banyak-banyak kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan saya sehingga masalah saya selesai," katanya lagi.
Zaidi, seorang bekas juruterbang pesawat pejuang TUDM semalam
memaklumkan gajinya untuk bulan Januari 'ditarik balik' oleh pihak
tentera selepas didepositkan pada hari sama, pada 22 Januari.
Beliau menyedari perkara itu selepas meneliti penyata akaun banknya.
Menurut Zaidi, tindakan itu dibuat walaupun pihak TUDM masih belum
mengeluarkan surat rasmi penamatan khidmatnya sebagai seorang tentera.
Zaidi dibuang kerja oleh tentera pada udara 12 Januari lalu selepas
diputuskan bersalah memberi kenyataan media tentang dakwat kekal tanpa
izin Majlis Angkatan Tentera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan