MALAYSIAKINI
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak layak menjadi wakil rakyat
Permatang Pauh memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sendiri
yang disandangnya terabai, kata BN.
Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru menasihatkan
pengundi Permatang Pauh supaya bijak memilih wakil rakyat mereka.
"Apakah mereka (penduduk Permatang Pauh) mahu wakil rakyat mereka jaga Kajang lepas itu sebulan sekali datang ke sini.
"Tugas-tugas lain dan kerja-kerja lain pastinya yang nak dia buat tidak akan berkesan.
"Dia kata (Kajang) akan diuruskan oleh menteri besar Selangor, kalau
macam itu, dia tak payahlah bertanding di sana. Ini tanggungjawab,"
katanya.
Timbalan perdana menteri berkata demikian pada sidang media selepas
melancarkan projek naik taraf Hospital Seberang Jaya hari ini.
Selain itu, Muhyiddin turut berkata, calon BN Suhaimi Sabudin merupakan
calon yang paling sesuai untuk menjaga Permatang Pauh memandangkan
beliau merupakan anak jati di situ.
Terus jaja pembangunan
Berbeza dengan Wan Azizah, Muhyiddin berkata beliau khuatir sekiranya
isteri kepada ketua umum PKR itu tidak mempunyai masa untuk menjaga
kebajikan dan pembangunan kawasan tersebut.
"Saya fikir itu (Suhaimi) jauh lebih baik dari Wan Azizah. Dia (Azizah)
tak ada masa langsung, Kajang banyak tak turun ke bawah dan menang pun
tak menjalankan tugas," katanya lagi.
Walaupun PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru,
namun kempen yang memasuki hari keempat hari ini lebih menonjolkan
perang antara BN dan PKR.
Pada kempen-kempennya sebelum ini, BN lebih banyak membangkitkan soal pembangunan di Permatang Pauh.
Selain mempertikaikan tiada pembangunan di kawasan itu, BN juga
menjanjikan pelbagai kemajuan lain sekiranya parti itu berjaya memenangi
kawasan tradisi PKR tersebut.
Antaranya BN menjanjikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk
Permatang Pauh serta menambah baik rumah ibadah dan masalah banjir di
kawasan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan