Roketkini.com
JOHOR BAHRU,: Sekiranya DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud maka parti itu anti-Islam, apakah lima Perdana Menteri termasuk Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir juga adalah anti-Islam?
Demikian persoalan dibangkitkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menjawab tuduhan ditimbulkan pihak-pihak yang dilihat rapat dengan parti UMNO-BN dalam siri ceramah kopitiam di Johor.
“Jika begitu, ‘anti-Islam’ juga harus digelarkan kepada lima PM sebelum ini, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah termasuk UMNO sebagai ‘anti-Islam’.
“Bahkan mereka yang bekerjasama dengan UMNO pun boleh digelar sebagai ‘anti-Islam – seperti PAS yang pernah bentuk pakatan kerajaan dengan UMNO dari 1973 sehingga 1977,” kata Kit Siang.
Menurutnya gelaran ‘longgar’ itu mengakibatkan sarjana-sarjana Islam yang memiliki pandangan berlainan mengenai hudud turut menerima nasib sama digelarkan ‘anti-Islam’.
Ini kerana ramai sarjana-sarjana Islam tidak bersetuju hudud dilaksanakan di negara-negara umat Islam berlandaskan ‘maqasid syariah’ dan keutamaan umat Islam.
Kit Siang turut merujuk Profesor Tariq Ramadhan yang menyeru moratorium mengenai pelaksanaan hudud.
Manakala ulama Islam di Timur Tengah secara terbuka menyifatkannya ‘Islamisasi yang tersasar ketika rakyat diminta menjalankan amanah sebelum mendapat hak yang dikatakan ‘Undang-undang Islam adalah penyatuan, sementara hudud hanya satu bahagian’.
“Mereka menjelaskan keutamaan dalam Islam adalah memenuhi keperluan manusia termasuk makanan, pakaian, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan rumah dari pada ancaman hukuman yang keras,” jelas Kit Siang. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan