ROMPIN: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata segala isu yang dijadikan modal oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk menyerang Umno-Barisan Nasional (BN), khususnya isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), akan diperjelaskan kepada rakyat dalam tempoh berkempen.
Katanya, Umno-BN mengambil tanggungjawab tersebut agar rakyat mendapat pencerahan dan tidak terkeliru dengan kempen pihak PR.
"Isu GST mungkin dibangkitkan, (selain) isu harga getah, harga kelapa sawit. Kita tak nafikan, bukan saja di peringkat Rompin malah seluruh negara dan dunia dapat kesan daripada apa yang berlaku.
"GST ni kita akui orang kurang senang hati tapi tujuannya untuk kebaikan rakyat. Tapi sesuatu yang baik itu ambil masa untuk difahami.
"Kita akan jelaskan dan kita cuba perbaiki dari konsep kepenggunaan, kita jelaskan. Supaya kita tak menolak seolah-olah tak ada isu. BN adalah parti yang sedia berdepan untuk beri penerangan betul daripada pihak yang cuba kelirukan," katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon PRK sebentar tadi.
Beliau menambah, menjadi tanggungjawab parti untuk meneruskan kesinambungan jasa penyandang kerusi berkenaan, Tan Sri Jamaluddin Jarjis kepada penduduk kawasan parlimen itu sebelum ini.
"Yang penting kita teruskan kesinambungan sumbangan yang diberikan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis waktu berkhidmat bayak berjasa kepada penduduk di sini adalah menjadi tanggungjawab yang terpilih, kena teruskan malahan mempercepatkan lagi program sosioekonomi serta pendidikan di Rompin," ujarnya lagi.
PAS dalam ceramahnya malam tadi membangkitkan isu cukai GST dan menyifatkan pelaksanaan cukai berkenaan sebagai langkah kerajaan untuk menampung bebanan hutang negara.
Dijangka kempen PAS sepanjang tempoh dua minggu ini berkisarkan isu cukai terbaharu itu, selain beberapa isu lain yang menjadi perhatian di Rompin seperti isu pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan