HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 April 2015

Gesaan Anwar dibenar keluar mengundi melampau, berlebihan

Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Gesaan PKR untuk Putrajaya membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, 7 Mei depan adalah permintaan melampau dan berlebihan, kata penganalisis politik, Prof. Dr Jayum Jawan.
 
"Itu satu permintaan yang melampau. Ini satu (permintaan) yang berlebihan.
 
"Kalau dulu kita anggap sesetengah permintaan dia masuk akal tapi kali ini di luar akal," katanya  ketika dihubungi Antarapos.
 
PKR semalam, menerusi Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan memberikan kelonggaran kepada Anwar yang juga bapanya, untuk turut sama mengundi pada PRK Parlimen Permatang Pauh, minggu depan.
 
Gesaannya itu berpaksi kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini bahawa kerajaan sedang mengkaji kemungkinan semua banduan diberikan hak untuk turut sama mengundi pada mana-mana pilihan raya.
 
Jayum bagaimanapun berkata, sehingga mekanisme seumpama itu diluluskan, mana-mana banduan tidak berhak mendapat apa-apa keistimewaan termasuk mengundi, selepas disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh pengamal undang-undang.
 
"Anwar memang sama saja dengan banduan yang lain dan bila sudah dijatuhkan hukuman semua banduan adalah sama.
 
"Jadi, tidak ada sesuatu (keistimewaan) yang boleh diberi kepada Anwar berbanding orang lain," katanya.
 
Malah, Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa itu berkata jika kerajaan persekutuan melayan atau memenuhi kehendak Anwar bagaimana pula dengan hak banduan lain?
 
"Jadi, orang (hak banduan) lain macam mana? soalnya. Saya rasa pihak pemerintah (kerajaan) tak perlu pandang dan fikir perkara itu.
 
"Mana ada negara yang membenarkan banduan mengundi," katanya.
 
Jayum berkata PKR perlu sedar bahawa meskipun Anwar adalah pemimpin berprofil tinggi, beliau tetap seorang banduan dan perlu dilayan selayaknya.
 
Malah kerajaan tidak perlu melayan apa saja permintaan PKR untuk memberikan kelonggaran atau keistimewaan pada Anwar.
 
"Pesalah yang sudah dijatuhkan hukuman sudah hilang kelayakan. Noktah! Jadi, saya rasa kerana seorang banduan itu berprofil tinggi maka kita kena ubah undang-undang dasar negara...saya rasa itu tidak perlu.
 
"Kalau dia boleh mengundi bermakna dia boleh bertanding, jadi tak ada bezanya. Baik dia (Anwar) bertandinglah. Kalau boleh mengundi bermakna orang itu boleh bertanding," jelasnya.
 
 

Tiada ulasan: