HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 April 2015

Muhyiddin Tak Harus Berlengah Lagi - Sokong Mahathir Atau Bersama Najib?

shahbudindotcom



Rasanya sudah lebih dari sekali Tun Mahathir Mohamad menyebut nama Muhyiddin Yassin sebagai calon paling layak menggantikan tempat Najib Razak sebagai Perdana Menteri bagi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudddin juga menyebut nama Muhyiddin dan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin yang rapat dengan kedua-dua tokoh tersebut turut menulis nama Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengganti paling  munasabah bagi kerusi Perdana Menteri selepas Najib diundurkan.

Dengan kedudukan sebagai orang nombor dua dalam UMNO dan kerajaan, memang tidak disangsikan bahawa Muhyiddin seharusnya diberikan kerusi Perdana Menteri jika pengunduran Najib berjaya dilakukan, meskipun nama seperti Tengku Razaleigh Hamzah turut sama menjadi sebutan.

Tun Mahathir dalam program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam, mengulangi sekali lagi, bahkan seakan-seakan mengesahkan bahawa kerusi Perdana Menteri selepas ini bakal menjadi milik Muhyiddin.

Kalau ikut adat UMNO, tentulah timbalannya jadi pengganti, kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang sebelum ini juga pernah menyingkirkan Tun Abdullah Badawi dari kerusi Perdana Menteri.

Lebih dari itu, Tun Mahathir juga melahirkan keyakinannya bahawa Muhyiddin tidak akan mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan oleh pentadbiran Najib selama ini.

Saya yakin kalau dia naik, dia takkan buat benda macam itu. Dia tahu kalau buat macam itu, dia pun akan kena macam ini juga, katanya lagi.

Setelah melakukan banyak kritikan melalui tulisan di blog dan melalui sidang akhbar sebelum ini, Tun Mahathir buat pertama kalinya "turun padang"  dalam satu program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam untuk menjelaskan sebab-sebab beliau mengkritik dan mahukan Najib turun daripada jawatan Perdana Menterinya.

Jika Najib kekal lagi, BN akan kalah. Tanpa isu 1MDB dan Sirul pun, prestasi Najib tidak lebih baik. Saya minta tak banyak, cuma satu saja iaitu Najib letaklah jawatan, jelas Tun Mahathir lalu disambut tepukan gemuruh oleh ribuan yang hadir.

Sedianya beliau "turun padang" ini dianggap banyak pihak sebagai bermulanya program jelajah untuk menekan, mengasak dan akhirnya memastikan Najib dapat diturunkan sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Tun Abdullah bermula 2006 dahulu.

Adalah dijangka lebih banyak lagi program turun padang melibatkan Tun Mahathir selepas ini. Sebagai tokoh yang tidak pernah mengalah, malah kuasa besar seperti AS pun dilawannya, selagi Najib tidak mahu berundur, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu pasti meningkatkan lagi stamina serangannya.

Titik akhir bagi Tun Mahathir dalam perjuangannya ini tidak lain ialah Najib mesti berundur atau diundurkan.

Semalam saja, sudah ada beberapa pihak menemui penganjur di Taman Melewati untuk berbincang bagi membawa Tun Mahathir ke tempat atau negeri-negeri lain pula.

Dalam hal ini, oleh kerana nama Muhyiddin sudah disebut banyak kali sebagai pengganti Najib dan tokoh harapan untuk membawa kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, Timbalan Perdana Menteri itu tidak seharusnya berdiam diri lagi.

Muhyiddin, mungkin selepas berakhirnya pilihanraya kecil Rompin dan Permatang Pauh, harus menyatakan pendiriannya dengan segera. Beliau tidak harus berlengah lagi kerana sikap dan pendiriannya mungkin boleh mempercepatkan "ombak bertukar menjadi gelombang".

Apakah beliau benar-benar mahu bersama perjuangan Tun Mahathir yang disokong oleh majoriti ahli UMNO akar umbi demi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang atau ingin terus kekal bersama Najib dan bersama-sama memungkinkan kekalahan kepada parti itu?

Walaupun beberapa pemimpin UMNO seperti Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan hubungan Najib dengan Muhyiddin tiada masalah, sekarang bukanlah soal hubungan tetapi lebih kepada masa depan parti dan kerajaan.

Sekarang adalah masa untuk Muhyiddin membuat pilihan dan sama ada kepentingan parti atau Najib yang mahu diutamakannya?

Lebih lama Muhyiddin berdiam diri, lebih sukar untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN kerana "kerosakan" yang diakibatkan oleh Najib hakikatnya terlalu buruk dan tentunya memakan masa untuk dipulihkan.

Tun Mahathir sendiri dalam ucapannya semalam berkata, selepas pertukaran Perdana Menteri nanti, beliau akan terus bersama-sama berusaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN serta memastikan kemenangan dalam pilihanraya.

Lalu, tiada sebab untuk Muhyiddin berlengah dan bermain dengan masa lagi untuk menyatakan pendiriannya. Lagi pula, jika terus berdiam diri seolah-olah hanya Tun Mahathir saja yang mahukannya sedangkan beliau tidak teruja pun dengan kerusi Perdana Menteri itu.

Tiada ulasan: