Wan Azizah Wan Ismail Wan Azizah Wan Ismail
 
 

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah dipilih semula bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh adalah bagi memastikan beliau dapat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun ramai yang mempertikaikan pemilihan itu, namun, harus diingat bahawa ini adalah strategi untuk masa hadapan PR.

“Benar, beliau adalah calon ‘recylce’, tetapi Wan Azizah masih lagi aktif sebagai presiden parti. PKR dan PR rasakan peluang menang dengan majoriti  dengan lebih baik kalau letak dia, berbanding letak calon lain.

“Ini kerana, beliau adalah isteri Anwar Ibrahim dan sebagai kemungkinan beliau dilantik sebagai ketua pembangkang,” katanya kepada Sinar Online.

Sementara ketika ditanya adakah PKR mampu mempertahankan kerusi tersebut, beliau berkata PKR masih mampu melakukannya.

“Itu lubuk PKR, lagi pun pelbagai isu yang dilihat sekarang tidak memihak kepada BN,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mohd Azizuddin berkata, BN tidak menghadapi masalah di PRK Parlimen Rompin untuk mengekalkan kerusi tersebut walaupun isu GST membelenggu negara buat masa ini.

“Saya rasa kemungkinan besar boleh kekalkan majoriti undi. Isu GST beri kesan, kena pada semua luar bandar turut terasa.

“Namun, kesannya tak besar, sebab baru diperkenalkan, BN bagi insentif bawa pembangunan , kempen pembangunan BN akan kaburi isu GST di Rompin nanti,” katanya.

PRK Parlimen Permatang Pauh akan diadakan pada 7 Mei sementara PRK Parlimen Rompin akan diadakan pada 5 Mei ini.