HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 April 2015

Kenapa abang Ketua Polis Negara terima layanan istimewa?

khalid-abu-bakar

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Mengapa peserta protes gereja Taman Medan tidak ditangkap, digari dan ditahan reman sepertimana dilakukan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat serta wartawan The Malaysian Insider?

Demikian persoalan diutarakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulas layanan istimewa diberikan polis terhadap peserta protes berbanding abang Ketua Polis Negara yang terlibat dalam protes tersebut.

“Abang kepada Ketua Polis Negara, Datuk Abdullah Abu Bakar yang merupakan ketua cawangan Umno Taman Lindungan Jaya, hanya ditahan sekitar empat jam untuk disoal siasat tentang penglibatannya dalam protes terbabit.

“Ini berbeza dengan (layanan terhadap) pemimpin Pakatan Rakyat seperti seorang Exco Selangor yang ditahan sehingga tiga hari dan wartawan yang ditahan semalaman dalam lokap polis,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Tegas Guan Eng, keengganan polis untuk menahan, menggari dan menahan reman Abdullah menunjukkan layanan istimewa dan sikap pilih kasih.

“Adakah ini kerana Abdullah adalah abang kepada Ketua Polis Negara?” soal Guan Eng.

Beliau menggesa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid mengambil alih sementara jawatan memastikan siasatan dilakukan secara profesional dan tidak berat sebelah.

“Tindakan KPN membersihkan abangnya daripada sebarang salah laku setelah mengepalai protes yang ekstremis dan bersifat gasar menunjukkan bahawa KPN mesti meletakkan jawatan seketika sehingga siasatan selesai,” kata Guan Eng.

Beliau turut menyifatkan Khalid lebih berminat melindungi abangnya sendiri daripada menguatkuasakan undang-undang.

Peranan Abdullah didedahkan dalam satu laporan The Star setelah Victoria Selammal, seorang anggota gereja Community of Praise membuat laporan polis terhadap protes Ahad lalu.

Victoria dilaporkan berjumpa Abdullah selepas upacara pagi Ahad yang secara kasar mengarahkan gereja tersebut menurunkan tanda salib.

Victoria, yang risau keselamatannya dan juga gereja tersebut, bersetuju menurunkan salib tersebut. – Roketkini.com


Tiada ulasan: