HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2015

Siapa sebenarnya musuh PAS?

 Oleh Lokman Ramlee

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Kalau tidak kerana ada rangsangan daripada ahli-ahli PAS sendiri, tidak mungkin Lim Guan Eng dan konco-konconya berani dan tergamak menggelar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, seorang pemimpin yang tidak bermaruah.
 
Tidak mungkin pemimpin DAP itu berani menyinggung perasaan ramai rakan karibnya dalam PAS yang hampir sahaja berjaya menumbangkan Barisan Nasional dan memerintah Malaysia.
 
Sehubungan itu jika bukan kerana diuja pandangan kritikal pemimpin-pemimpin Melayu-Islam dalam PKR, tidak mungkin juga Guan Eng berani mengkritik Naib Presiden Persatuan Ulama Sedunia itu dengan begitu pedas sekali.
 
Lantaran pandangan sinis terhadap kepemimpinan Hadi oleh puak-puak politikus Melayu-Islam inilah maka rasa hormat dan semangat mahu bekerjasama dengan PAS, khususnya ulama, tiba-tiba malap dalam jiwa DAP.
 
Keberanian dan sikap galak DAP terhadap Hadi itu bukanlah satu keputusan  melulu. Ia disemarakkan oleh keyakinan jika Hadi tidak lagi memimpin PAS, maka DAP akan melayari gelombang politik Malaysia dengan lebih selesa. 
 
Jika Hadi tiada, golongan profesional, PKR dan DAP lebih senang berurusan
 
DAP parti pragmatik. Ia senang berurusan dengan pemimpin Melayu-Islam yang berfikiran terbuka dan liberal dalam soal agama. Lantas jika Hadi “dinyahkan” dari PAS,  sudah tentu kerjasama dengan PKR dan PAS lebih nyaman.
 
Sebab itu DAP tidak segan silu menjadi mikrofon politik bagi puak-puak progesif dalam PAS untuk “mencerca” Hadi dan geng ulamanya. Namun penyokong Hadi tidak histeria dengan serangan terhadap maruah presiden mereka. 
 
Berpandukan akhlak mukmin mereka memilih masa dan tempat sesuai untuk memberi reaksi terhadap “penghinaan” terhadap presiden mereka. 
 
Penyokong Hadi dapat membaca bahawa serangan terhadap usaha PAS melaksanakan hukum hudud sebenarnya hanya alasan untuk “mengizinkan” DAP menyerang Hadi. 
 
Walhal sewajibnya geng progresif menggandakan usaha menerangkan apakah sebenarnya hukum hudud pada semua pihak terutama DAP. Sebaliknya mereka membatu bila Hadi diserang.
 
Mereka berkira ini akan mempengaruhi trend pemilihan dalam muktamar akan datang. Mereka mahu ahli akar umbi berasa malu jika mereka berpresidenkan seorang yang dikatakan tiada maruah. Bagaimanapun sifir mereka meleset.
 
Sememangnya sebelum muktamar 2013 lagi mereka mahu menjatuhkan Hadi. Bagaimanapun tiada calon yang berani melaksanakan cabaran itu. Mereka berkongsi pandangan DAP dan PKR bahawa Hadi punca kemerosotan kerusi PAS di Parlimen dan kalah di Kedah.
 
DAP dan PKR berdendam Hadi enggan merestui kempen bahawa Anwar Ibrahim bakal dilantik perdana menteri jika Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum lalu hingga menyebabkan pengundi kurang yakin memberi sokongan.
 
Memang Hadi dan ulama PAS keberatan merestui Anwar kerena dikatakan “curiga” integritinya. Namun sebagai ulama, PAS enggan memperbesarkan isu itu dan mencadangkan isu itu diselesaikan selepas keputusan PRU 13 diketahui. 
 
Geng profesional melihat Pakatan Rakyat adalah gerbang kuasa. Bagaimanapun Hadi dan geng ulama menganggap pakatan itu hanya kerjasama politik untuk meluhurkan pengurusan kuasa, tidak kira di tangan siapa.
 
Lahirnya sebuah NGO yang konon menyokong PR iaitu PasMa
 
Geng profesional PAS dan pemimpin PKR sudah terlalu taksub dan mabuk kuasa. Sebaliknya Hadi masih bertaut pada qada dan qadar Allah. Ini membuat geng profesional yang yakin kuasa boleh diperolehi melalui kepintaran strategi dan kegesitan politik agak hilang sabar dengan Hadi. 
 
Sementara itu DAP pun menjadi lebih galak apabila menghadapi kemungkinan akan dapat sokongan parti politik Melayu-Islam baru tanpa diserabuti geng ulama PAS. Maka tercetuslah idea PasMa.
 
Namun geng ustaz dapat membaca bahawa PasMa hanya umpan dan isyarat kepada penyokong geng profesional bersedia meninggalkan PAS selepas Muktamar Jun nanti jika gagal menumbangkan Hadi dan ulama.
 
Mereka menyusun kabinet dalam parti politik sedia berdaftar yang akan diambil alih. Strategi ini pernah digunakan penyokong Anwar Ibrahim ketika mahu menyertai politik. Mujahid Yusuf Rawa ditimang-timang memimpin parti ini. 
 
Penyokong Hadi pun faham silat politik. Dalam keadaan PKR bertarung mahu mempertahankan kewujudannya di Permatang Pauh, mereka menuntut PKR memohon maaf kepada PAS kerana mencerca langkah hudud mereka. 
 
Malah PAS Permatang Pauh memfatwakan tidak boleh menyokong pihak yang menentang pelaksanaan hukum hudud. PKR masih enggan. Jika mohon maaf mereka khuatir mereka sendiri pula dianggap tidak bermaruah. 
 
Keputusan Pilihan raya Kecil Permatang Pauh adalah kecil kesannya pada masa depan politik PAS. Ini kerana PAS kini memang sedang cuba dirobek oleh ahli-ahlinya yang haloba kuasa. Ia juga dikeroyok oleh muslim PKR. 
 
Yang penting ulama PAS insaf dan terpanggil mendedahkan siapa sebenarnya musuh perjuangan Islamnya.
 
 
 

Tiada ulasan: