Rakan lepas tangan, risau diburu 23 ah long Mangsa turut merujuk kes pinjamnnya dengan ah long kepada Chee Boon untuk meminta bantuan.
 
 
 
JOHOR BAHRU – [DIKEMASKINI] “Rakan kongsi saya semuanya lepas tangan, akibatnya saya terpaksa menanggung hutang sebanyak RM30,000 daripada 23 ah long kerana pinjaman itu menggunakan nama saya sebagai modal perniagaan,” kata seorang pekerja swasta, yang ingin dikenali sebagai Ahmad,40.

Ahmad memaklumkan pada mulanya dia dan empat rakan membuat pinjaman sebanyak RM2,000 daripada dua ceti haram pada Ogos tahun lalu untuk memulakan perniagaan sampingan membekalkan pakaian di 10 pasar malam sekitar daerah ini.

Bagaimanapun perniagaan diusahakan Ahmad dan rakannya itu tidak menjadi dan mereka mengambil keputusan untuk membuat pinjaman baharu sebagai modal pusingan selain untuk membayar pinjaman dengan ceti sebelumnya.

“Saya hanya mampu membayar RM2,000 pada November tahun lepas namun baki pinjaman sebanyak RM28,000 masih belum dijelaskan.

Saya ada meminta bantuan daripada rakan kongsi, malangnya mereka enggan bertanggungjawab.

“Bisnes kami juga gagal diteruskan dan saya mengambil keputusan untuk menutup sahaja perniagaan ini. Saya mula tertekan selepas menerima panggilan daripada beberapa ah long yang menuntut hutang,” katanya.

Mangsa memaklumkan beberapa ah long telah menghubunginya sejak empat hari lalu dan bertindak mengugutnya untuk melakukan sesuatu jika gagal menjelaskan bayaran pinjaman.
 
Ahmad memaklumkan isterinya juga tidak tahu dia telah membuat pinjaman dengan ah long. 
 
Justeru dia juga khuatir keselamatan keluarganya turut terancam jika gagal melangsaikan baki pinjaman yang ada.
 
Buntu dengan masalah dihadapi, mangsa bertindak membuat satu laporan polis di Balai Polis Mutiara Rini, di sini Kelmarin. 
 
Mangsa turut mendapatkan bantuan daripada Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan MCA, Michael Tay Chee Boon, di sini.
 
Sementara itu, Chee Boon memaklumkan pihaknya akan berhubung dengan semua ah long terlibat untuk berbincang bagi membolehkan mangsa membayar baki pinjaman itu secara ansuran.