1MDB 1Malaysia Development Berhad
 
 
 
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pengerusi CIMB Holdings Bhd, Datuk Seri Nazir Tun Razak berkata, isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak wajar terus diperbesarkan kerana ia boleh menjejaskan sentimen pelabur terhadap Malaysia.
  
Beliau juga mengulangi dan menyokong kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa 1MDB tidak mendatangkan risiko sistemik kepada sistem kewangan Malaysia dan pergerakan ringgit.
  
"Akan tetapi saya rasa kita perlu dedahkan (apa yang perlu didedahkan) bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran penuh dan meredakan kebimbangan.
  
"Nasihat saya ialah isu ini tidak terus diperbesar-besarkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan, di sini hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada isu 1MDB akan membawa impak atau risiko kepada sistem kewangan lebih luas di Malaysia dan prestasi ringgit.
  
Nazir juga menolak spekulasi bahawa isu 1MDB menyebabkan beliau tidak sependapat dengan abangnya Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri.
  
Turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz.

1MDB merupakan syarikat pembangunan strategik yang meneraju inisiatif berorientasikan pasaran untuk membantu mengubah Malaysia menjadi ekonomi berkembang maju dengan daya saing yang tinggi, inklusif dan mampan.
    
Syarikat itu menumpukan kepada pelaburan dengan nilai strategik dan kesan pengganda tinggi terhadap ekonomi, terutama dalam tenaga, hartanah, pelancongan dan perniagaan tani. - Bernama