HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2015

Kesal kempen guna nama ‘kerajaan’, ‘parti’


Nik Abduh Nik Abdul Aziz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
 
 
 
SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abd Aziz mengakui kesal dengan siri-siri pilihan raya yang berlaku sebelum ini apabila penggunaan istilah ‘kerajaan’ dan ‘parti’ baik BN mahupun PR dijual untuk meraih undi.

Malah beliau menyifatkan kempen pilihan raya yang telah berlaku selama ini tempang kerana BN mahupun PR tidak sepatutnya menggunakan istilah tersebut.

“Saya merasa kesal dengan siri-siri pilihan raya yang dilihat agak tempang. Di antaranya penggunaan istilah ‘kerajaan’ dan ‘parti’ yang sudah pasti mempunyai makna dan kesan psikologi yang berbeza.

"Parti BN mahupun PR tidak seharusnya menggunakan istilah kerajaan dalam siri-siri kempen mereka kerana apabila berlakunya pilihan raya tidak ada lagi kerajaan mahupun pembangkang.

“Ini yang sering kali berlaku. Malah, beberapa peruntukan besar menggunakan nama dan wang kerajaan digunakan oleh pihak ‘parti’ yang memerintah untuk meraih undi masyarakat. Jelas ini sesuatu yang melanggar etika dalam pilihan raya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjamin kempen yang lebih adil dan telus dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Permatang Pauh.‎

“Justeru, saya ingin menggesa kepada SPR supaya meneliti cadangan berikut, memastikan pihak yang bertanding di dalam mana-mana pilihan raya adalah mewakili ‘parti’ dan bukan ‘kerajaan’ mahupun ‘pembangkang’.

“Memastikan ada sekatan terhadap penggunaan jentera kerajaan, badan-badan kerajaan sama ada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri dan di peringkat tempatan.

“Memastikan tidak ada perbelanjaan dan peruntukan yang besar menggunakan kuasa dan wang kerajaan dalam meraih undi masyarakat.

“Menyediakan hak sama rata bagi parti-parti yang bertanding dalam akses kepada media terutamanya media-media utama elektronik dan cetak milik kerajaan,” katanya.

Menurutnya, perkara yang digariskan itu penting bagi menjamin suatu pilihan raya yang lebih adil

Tiada ulasan: