HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 April 2015

Episod ‘salib’ adalah testimoni kegagalan pembinaan negara Malaysia

malaysia

 Oleh LIM KIT SIANG

 
Ini adalah ceramah kopitiam saya yang keenam di lima kawasan DUN Johor sejak sepanjang tiha hari lalu dalam rangka memeriksa denyut nadi negara dengan berkongsi perkembangan politik bersama orang ramai dan mengetahui sendiri kebimbangan mereka tentang apa yang sedang berlaku di dalam negara.

Tidak syak lagi, isu-isu utama hari ini termasuklah skandal RM42 bilion 1MDB, cukai 6% GST, pemberontakan Dr Mahathir yang menggesa Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, dua skandal mahkamah – persoalan tentang siapa dalang pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaaribu serta pemenjaraan Anwar Ibrahim; pilihanraya kecil Permatang Pauh, polarisasi kaum terburuk dalam sejarah seperti yang dilihat dalam protes oleh sekumpulan penduduk terhadap lambang salib di sebuah gereja di Taman Medan, Selangor dan juga masa depan Pakatan Rakyat.
Protes oleh sekumpulan penduduk Melayu terhadap lambang salib atas alasan bahawa ia satu ancaman terhadap orang Melayu dan agama Islam adalah satu testimoni kegagalan usaha membina negara sepanjang lebih separuh abad.

Reaksi dan protes sedemikian hampir tidak pernah kedengaran malah tidak pernah mungkin difikirkan dalam tempoh lima dekad pertama pembentukan negara ini sejak Merdeka pada tahun 1957, namun ia nampaknya sudah menjadi kebiasaan sepanjang lima tahun lalu, ironis sekali kerana ia terjadi ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berpusing ke seluruh dunia menjaja gagasan Global Movement of Moderates-nya.

Skandal 1MDB yang semakin kusut, sehinggakan Mahathir pun telah bersetuju dengan cadangan saya untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja dengan syarat Pesuruhjayanya orang yang ternama dan dihormati, kredibel dan bebas; cukai 6% GST yang menindas, serta perkelahian berterusan antara Mahathir dan Najib menjadi antara topic paling hangat di setiap perbincangan kopitiam, tidak ketinggalan juga persoalan tentang masa depan Pakatan Rakyat, sama ada gabungan DAP, PKR dan PAS akan bertahan dengan desakan unilateral Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang untuk melaksanakan hudud secara bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan prinsip konsensus Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Warga Johor terutamanya bimbang tentang masa depan Pakatan Rakyat kerana Johor merupakan tumpuan negara sewaktu PRU ke-13, merubah dirinya daripada sebuah negeri deposit tetap Umno/MCA/MIC selama lebih separuh abad di baris-baris belakang kerancakan politik negara, menjadi negeri baris hadapan demi perubahan di Malaysia.

Pengundi Johor bukan sahaja memilih 5 Ahli Parlimen dan 18 Adun Pakatan Rakyat, tetapi Barisan Nasional mengalami kejatuhan sehingga 10 peratus dalam jumlah undi di negeri tersebut, daripada 63.1% pada PRU tahun 2008 menjadi 53.9% pada PRU 2013.

Peratusan undi untuk Barisan Nasional di Johor terus merosot sejak PRU 2004 di mana BN memperolehi 77.4% undi dari seluruh negeri tersebut.

Pada kadar kemerosotan undi popular Barisan Nasional di negeri Johor, BN sedang menuju ke arah undi minoriti sahaja di negeri itu menjelang PRU ke-14 dua atau tiga tahun lagi dan bakal kehilangan kerajaan negeri Johor.

Senario politik yang sedemikian itu kini diancam oleh keputusan unilateral Hadi untuk meneruskan agenda pelaksanaan hudud walaupun saya tidak melihat sebarang angka di Parlimen apabila ia kembali bersidang pada 18 Mei nanti, untuk meluluskan rang undang-undang persendirian Hadi untuk pelaksanaan hudud.

Ketika lawatan seminggu saya ke Jordan dan Mesir bersama empat Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok (Seputeh), Liew Chin Tong (Kluang), Zairil Khir Johari (Bukit Bendera) dan Steven Sim (Bukit Mertajam) berjumpa dengan intelektual setempat, aktivis serta mahasiswa Malaysia di Amman, Mafraq, Karak, Iskandariah dan Kaherah, saya memberitahu mahasiswa Malaysia bahawa ia adalah satu kerugian kepada Islam sekiranya mereka yang mempunyai pandangan berbeza mengenai hudud dan pelaksanaannya digolongkan sebagai anti-Islam.

Ini bukan sahaja akan menggolongkan sekali lima Perdana Menteri Malaysia, TUnku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah, tetapi juga Umno sebagai ‘anti-Islam’, malah mereka yang pernah bekerjasama dengan Umno sebagai anti-Islam – termasuk PAS yang pernah mengadakan kerajaan campuran bersama Umno selama empat tahun pada 1973 hingga 1977.
Malah ia akan menggolongkan para Islamis dan ulama Islam yang mempunyai pandangan berbeza tentang pelaksanaan hudud juga sebagai anti-Islam.

Prof Tariq Ramadan telah menyeru supaya wujud moratorium tentang pelaksanaan hudud sementara ulama Islam dan ahli-ahli teologi di Timur Tengah secara terbuka membantah apa yang mereka sifatkan sebagai ‘Islamisasi tersesat’ apabila mendesak orang ramai melaksanakan kewajipan sebelum menerima hak mereka kerana ‘undang-undang Islam ialah sebuah kesepaduan yang tidak terpecah-pecah, di mana hudud adalah satu bahagian kecil darinya’ – dan bahawa keutamaan dalam Islam adalah untuk menggalakkan penyelesaian keperluan asas manusia termasuk hak mendapatkan makanan, pakaian, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan tempat tinggal berbanding ancaman hukuman berat.

Para proponen perubahan politik di Johor akan berhadapan cabaran yang lebih besar sekiranya PAS tidak kekal setia dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, dan Pakatan sebagaimana bermulanya sejak awal tidak akan lagi menjadi kenderaan perubahan yang mampan – kerana kita akhirnya akan terpaksa mencari sumber dan komitmen untuk meneruskan penerokaan wilayah-wilayah yang telah kita kecapi di Johor dalam PRU ke-13 sambil tidak membenarkan sebarang halangan atau kekecewaan yang bakal kita hadapi daripada melemahkan objektif politik untuk Johor dan Malaysia. – Roketkini.com


Tiada ulasan: