HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2015

Kerana Tidak Dikategorikan Sebagai Ulama, Dr. Abd Rani "Dipancung" Dari Jawatannya....

KELAB GREENBOC



 

Akibat pertembungan dalaman, PAS hilang tokoh bawa Selangor ke puncak

Walaupun berjaya membawa PAS ke tangga paling tinggi dalam sejarah politik negeri, namun kerana beliau bukan tergolong dalam kumpulan ulama, Dr Rani Osman diketepikan daripada jawatan yang dipertua PAS kawasan Kapar, Selangor dalam pemilihan hujung minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru itu dikalahkan bekas timbalannya, Najhan Mohd Salleh sebagai yang dipertua PAS kawasan Kapar apabila hanya mendapat 114 undi berbanding 282 diperolehi Najhan.

Dr Rani menyertai bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin yang dijatuhkan di Kampar, Perak dan Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari yang dijatuhkan di Alor Gajah oleh pencabar masing-masing yang terdiri daripada golongan ulama.

Sehari sebelum Mesyuarat Agung PAS kawasan Kapar, penulis berkesempatan makan malam dengannya bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-57 pada 18 April.

Ketika ditanya persiapannya menjelang pemilihan itu, Dr Rani dengan selamba berkata:"Aku tidak pernah kisah dan tidak pernah bincang hal pertandingan dalam kawasan. Lantak merekalah."

Begitulah pendirian doktor perubatan lulusan universiti dari Mesir yang bertubuh kecil ini.

Walaupun kecil, Dr Rani tidak pernah merasa rendah diri. Beliau menubuhkan "Kelab 52" untuk mereka yang bersaiz kecil, lebih rendah daripada 5 kaki 2 inci.

Beliau menamakan Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sahabat baiknya, sebagai presiden kelab itu.

Hubungan mereka berdua rapat, tetapi penyokong kumpulan ulama dalam parti tidak menganggap beliau ulama, lantas tidak menerima Dr Rani sepertimana mereka menerima Tuan Ibrahim yang kini menerima pencalonan terbanyak untuk jawatan timbalan presiden.

Tuan Ibrahim setakat hujung minggu lalu memperolehi 59 pencalonan untuk bertanding kerusi timbalan presiden PAS, berbanding 9 yang diperolehi penyandangnya Mohamad Sabu.

Semasa menjadi pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani berjaya membawa PAS negeri ke aras paling tinggi apabila ia mencipta sejarah mendapat 15 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013 berbanding 8 kerusi dalam PRU sebelumnya.

Namun kerana tidak berminat menjadi pemimpin besar, Dr Rani menulis surat secara peribadi kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memohon tidak dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor selepas PRU13.

Hadi kemudiannya melantik Datuk Iskandar Samad sebagai pengganti Dr Rani.

Dr Rani mula menjadi calon PAS dalam PRU 2004 dengan mewakili PAS di kerusi DUN Meru, namun tewas.

Dalam PRU 2008, beliau menang di kerusi yang sama dan pada PRU13, beliau berjaya lagi di kerusi sama dengan tambahan bilangan undi.

Daripada majoriti 5,513 pada 2008, beliau berjaya menambah majoritinya kepada 9,079 pada PRU13.

Kerusi Meru merupakan lambang kerusi pelbagai kaum di negara ini. Ia umpama kedudukan Malaysia dengan komposisi kaum 60% Melayu, 27.5% Cina dan 12% India, di kalangan 39,457 pengundi.

Berpusat di Klinik Fitrah yang terletak di pekan Meru, Dr Rani menggerakkan sokongan untuk PAS di kawasan itu.

Hampir setiap hari beliau bergerak ke merata tempat dalam kawasan pilihan rayanya dan bertemu segenap lapisan masyarakat.

Dengan profesion sebagai doktor, beliau membantu orang sakit tanpa mengira kaum dan agama atau statusnya dalam masyarakat.

Sebagai bekas pelajar timur tengah, Dr Rani boleh bertutur bahasa Arab dengan baik di samping dapat memahami Al-Quran.

Hampir setiap Jumaat, beliau menjadi khatib di beberapa masjid di Meru termasuk Masjid Asy Syarif, masjid paling besar dan tersergam indah di pekan itu.

Malah, di Masjid Asy Syarif itu juga, Dr Rani pernah dikunjungi bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelang kejatuhannya, untuk membincangkan keadaan semasa, kerana beliau sedar kekuatan pengaruh yang dimiliki Dr Rani.

Namun, walaupun beliau memberikan kuliah agama hampir setiap minggu, oleh kerana status sebagai doktor perubatan, beliau tidak dikategorikan sebagai ulama.

Tanyalah Melayu, Jawa, Cina atau India di Meru, siapa Dr Rani. Tanyalah juga orang Umno di Meru, nescaya mereka akan kata, selagi Dr Rani calon PAS, jangan mimpi Umno akan menang semula di Meru.

Pendek kata, Dr Rani sangat berpengaruh dalam masyarakat pelbagai kaum di kawasannya. Namun ahli PAS nampaknya masih tidak berpuas hati dengannya.

Bagi Dr Rani, beliau tidak pernah terasa rugi dengan kekalahan sebagai yang dipertua PAS kawasan Kapar kerana beliau tidak pernah meminta jawatan itu.

Kalau jawatan pesuruhjaya PAS Selangor yang diberikan kepadanya pun pernah diserahkannya kembali, apatah lagi jawatan yang dipertua PAS kawasan yang perlu ditandingi untuk dimenangi.

Dr Rani gembira dengan apa yang berlaku.

"Alhamdulillah, hilang lagi satu bebanan aku," katanya kepada penulis ketika memaklumkan keputusan PAS Kapar yang menolaknya sebagai yang dipertua.

Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bersuara.

"Inilah wajah baharu PAS," katanya memberi amaran PAS akan berwajah baharu sekiranya kumpulan tertentu dipilih dalam muktamar Jun nanti.

Beliau mengulas tindakan sesetengah pihak dalam PAS yang berkempen besar-besaran untuk menguasai parti, dipercayai merujuk kepada pertembungan antara golongan ulama dan golongan profesional di dalam parti Islam itu.

ULASAN GB

Demikialanh episod yang menyayat hati di Selangor. Golongan yang dikatakan pro-ulama sanggup mencantas seorang pemimpin yang hebat semata-mata Dr. Abdul Rani tidak dikategorikan sebagai seorang "ulama" (dalam definisi mereka yang amat traditional).

Sewaktu beliau dilantik menggantikan Hassan Ali dulu, GB ada mengulas. Petikan:


Memerhatikan jawapan yang diberikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman tatkala diajukan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru mengantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat, menampakkan beliau memang seorang yang merendah diri dan tawadhu - sifat yang begitu jarang ditemui di kalangan pemimpin.

Biasanya seseorang akan melompat kegirangan apabila disebut-sebut sebagai exco, malah ada yang lebih dasyat, merancang pula nak jadi MB sebaik saja menang pilihanraya dengan pelbagai helah dan cara, tetapi tidak diizinkan Allah rencananya itu.

Malah satu ketika seingat GB, ketika nama Dr.Rani Osman disebutkan untuk menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor pun, beliau sanggup bernazar hendak sembelih kambing jika tidak terpilih.

Dr.Rani mengetahui bahawa sesuatu "jawatan" itu bukan satu tasyrif (keistimewaan), tetapi satu taklif (bebanan tanggungjawab).

Inilah ciri yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda kepada Abd al-Rahman Bin Samurah ra:

"Wahai Abdulrahman, kamu jangan meminta imarah(pemimpin), kerana, jika tugas pemimpin diberikan kepada kamu kerana kamu minta ia akan diserahkan kepada kamu dan kamu dibebani. Jika ia diberikan kepada kamu bukan kerana kamu minta, kamu akan dibantu atas (kendalian) nya". - Bukhari, Muslim

PAS perlukan ramai pemimpin seperti Dr.Rani ini.

Sungguh berbeza dengan sikap dan perangai "ulama-ulama" yang ada dalam PAS kini. Berebut-rebut untuk mendapat jawatan, malah sanggup bertindak di luar batas akhlak Islam untuk menjatuhkan lawannya dari golongan progresif.

Dr. Abdul Rani sudah pun membuktikan bahawa semasa beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor, PAS Selangpr berjaya memperolehi 15 kerusi DUN di dalam pilihanraya umum ke 13 yang lalu.

Kita akan sama-sama selepas ini menyaksikan pula performance Iskandar Samad yang dijulang hebat oleh golongan Geng Ustaz di dalam pilihanraya akan datang nanti.


Tiada ulasan: