HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 April 2015

Ahli UMNO taat tanpa banyak soal

 
Ahli UMNO terlalu cenderung dengan budaya Melayu sehingga menerima apa sahaja yang dilakukan pemimpin tanpa perlu mempersoalkan apa yang dilakukan.


Mahathir-umno1_600


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik sikap ahli UMNO yang terlalu setia kepada pemimpin tanpa mempersoalkan apa dilakukan oleh pemimpin tersebut.

Bekas Perdana Menteri berkata, sikap terlalu cenderung budaya Melayu menyebabkan ahli UMNO taat kepada pemimpin dan tidak berani menyoal apa-apa kepada pemimpinnya.

Katanya, ahli UMNO berpendirian bahawa pengikut perlu menerima apa sahaja yang dilakukan pemimpin tanpa perlu banyak soal.

Sindiran halus Dr Mahathir itu dimuatkan dalam entri terbaharu diblognya, chedet.cc pada Khamis.
Katanya, tindakan pemimpin yang memberi penerangan secara tertutup membuatkan ahli UMNO merasakan mereka seolah-olah rapat dengan pemimpin kerana dapat berkongsi rahsia.

“Saya punyai sedikit pengalaman dalam bidang politik, terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu. Kita cenderung untuk setia kepada pemimpin. Kita tidak soal apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin.

“Dia pemimpin, kita pengikut. Oleh itu, ikut sahajalah. Lebih-lebih lagi apabila kita diberi penerangan olehnya secara tertutup seolah-olah kita dapat berkongsi rahsia dengan pemimpin kita,” katanya.

Mengenai teguran yang dibuatnya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau meminta ahli UMNO mengadilinya sama ada ia bertujuan merosak atau menyelamat parti.

Menurut Dr Mahathir, ahli UMNO hanya boleh membuat penilaian selepas mendengar penerangan daripada kedua-dua belah pihak.

“Tetapi untuk kita membuat keputusan atau menghukum secara bijak, secara adil, kita perlu dengar kedua-dua belah pihak.

“Lepas mendengar kedua-dua pihak adililah terhadap ‘serangan’ saya. Apakah saya sedang merosakan parti atau mencuba menyelamatkanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli UMNO memberinya peluang untuk menerangkan mengapa beliau menyerang Perdana Menteri selaku Presiden UMNO.

“Bagi saya serangan ini mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian daripada ahli UMNO tetapi sebabnya ialah kerana saya ingin menyelamatkan UMNO, parti keramat yang dahulu disokong sehingga menang 2/3 setiap PRU,” katanya.

Tiada ulasan: