MALAYSIAKINI
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memikirkan semula
kewajaran beliau terus mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
jika BN berjaya mengurangkan majoriti PKR dalam pilihan raya kecil
Permatang Pauh.
Bekas menteri kabinet Tan Sri Zainuddin Maidin berkata walaupun
kemenangan di kubu kuat PKR itu mustahil dicapai, tetapi jika BN mampu
mengurangkan sokongan majoriti Datuk Seri Azizah Wan Ismail, maka ia
boleh "memulihkan imej BN".
Pada
masa yang sama, katanya, ia boleh menaikkan semangat pendokong Umno dan
BN termasuk pucuk pimpinannya yang kini dianggapnya "tergugat" ekoran
kegawatan politik, ekonomi termasuk serangan Dr Mahathir.
"Jika berlaku peningkatan undi BN atau pengurangan kelebihan undi
Pakatan Rakyat, maka bererti BN telah berjaya merobek tembok kekebalan
imej Anwar Ibrahim dan keteguhan moral politik pembangkang di seluruh
negara.
"Kemenangan menjadi matlamat setiap parti yang bertanding dalam pilihan
raya tetapi mustahil akan dapat dicapai oleh BN di Permatang Pauh tetapi
kejayaan mengurangkan undi majoriti PKR sudah cukup untuk memulihkan
imej BN kerana ia merupakan The battle of the decade, setelah the mother
of all by election," katanya.
Menulis dalam blognya, Zainuddin bagaimanapun menegaskan bekas perdana
menteri itu akan dipersalahkan jika kekalahan BN termasuk di Permatang
Pauh disebabkan kempen berterusan beliau menjatuhkan Najib.
"Apakah Mahathir tidak akan turut bergembira dengan peningkatan undi BN
di Permatang Pauh kelak yang juga akan menaikkan moral Umno dan tidak
hanya Najib?" katanya yang lebih dikenali sebagai Zam.
"Saya tidak terfikir Tun Mahathir sendiri mahukan kekalahan BN di
Permatang Pauh kerana Anwar Ibrahim merupakan musuh terbesar dalam
sejarah politiknya.
"Tetapi kekalahan BN akan melibatkan Mahathir turut memberikan
sumbangannya jika beliau terus menyerang Najib dalam masa kempen pilihan
raya itu walaupun tidak bercakap di kawasannya.
Zainuddin berkata penurunan majoriti undi PKR boleh menutup kelemahan BN
di Rompin jika berlaku kemerosotan sokongan dan menghakiskan keyakinan
masyarakat Cina terhadap Pakatan termasuk permuafakatan DAP dengan PAS
ekoran isu negara Islam dan hudud.
"Jika BN kalah di Rompin maka Najib wajib mesti meletakkan jawatan," tegas Zam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan