PRK ROMPIN Grafik Sinar Online
 
 
 
SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Meskipun kerusi Parlimen Rompin dikenali sebagai kubu kuat BN manakala Permatang Pauh pula sejak sekian lama menjadi 'deposit tetap' PKR, namun pada PRK ini, tidak ada jaminan bagi kedua-dua parti berkenaan akan menang mudah untuk mengekalkan status quo masing-masing.

Pensyarah sains politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, menang atau kalah bukan hanya bergantung pada calon yang bertanding tetapi isu semasa.

"Selain itu, kekuatan jentera kempen dan pegangan politik kawasan itu juga faktor penentu. Misalnya di PRK Permatang Pauh, PKR meletakkan calon ‘kitar semula’ (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang nyata dilihat calon datang dan pergi sahaja untuk kawasan tersebut.

Beliau dilihat sesuka hati mahu dicalon dan mengundur diri untuk beri laluan kepada suaminya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya sebelum ini. Mungkin ini akan dinilai pengundi nanti," katanya.

Mengulas PRK Rompin pula katanya, isu semasa seperti GST akan digunakan Pas dan isu berkaitan ekonomi akan sedikit mengubah landskap kempen BN untuk terus kekal di kawasan itu.

“Memang jika dilihat hasil kejayaan bekas ahli parlimennya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis meninggalkan legasi yang kuat di Rompin agak sukar untuk BN kalah, namun isu lain perlu diambil kira. Ini termasuk konflik Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri yang mungkin akan beri kesan dalam hati pengundi kali ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PRK di kedua-dua kawasan tersebut ada cabaran tersendiri dan tidak mudah untuk kekal dengan majoriti tinggi.

“Jika dilihat di Permatang Pauh, ahli Pas kawasan itu boikot untuk tidak memilih Wan Azizah sebagai calon. Ini mungkin akan beri kesan pada majoriti undi nanti," katanya.

Mohd Azizuddin bagaimanapun berkata, PKR dijangka kekal menang PRK Permatang Pauh.

“Ketika BN menang besar pun, Wan Azizah kekal menang di Permatang Pauh sebelum ini. Inikan pula ketika BN lemah, saya jangka PKR akan menang juga,” katanya.

Mengenai Rompin, beliau berkata, memang kawasan tersebut kubu kuat BN dan sukar untuk ditembusi, tetapi pecahan undi mungkin akan berlaku apabila Pas bertanding di sana.

“Dengan Pas bawa isu GST dan ekonomi, saya jangka undi untuk BN mungkin akan berpecah,” katanya.