Poster
calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin turut dilekatkan pada
dinding sebuah kedai tradisional yang masih wujud di sini, bagi
meraihkan undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh,
hari ini. - Foto Bernama
BUTTERWORTH - Kawasan Parlimen Permatang Pauh sememangnya kubu kuat
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi keputusan BN meletakkan
calon muda dan anak setempat bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan
itu dilihat memberi "tekanan" kepada PKR dan PR.
Calon BN Suhaimi Sabudin, 44, merupakan anak jati Permatang Pauh dan
menetap di kawasan itu sehingga kini berbanding calon PKR iaitu
Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, yang kekuatannya
hanyalah kerana kedudukan beliau sebagai isteri Anwar.
Walaupun pengaruh Anwar dilihat masih kuat di Permatang Pauh, sentimen
calon muda dan anak setempat, yang bermaksud individu yang berasal di
situ dan masih menetap serta berbakti di kawasan tersebut, mampu
menggerunkan PKR dan PR.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof
Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pemilihan Suhaimi sebagai calon BN
dilihat sebagai pilihan terbaik dalam kalangan pengundi atas pagar, yang
kebanyakannya golongan muda dan pengundi baharu.
Katanya selama ini PR yang lebih ke depan dalam mengetengahkan
calon-calon muda sewaktu pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, dan
perkara ini terbukti berjaya menarik pengundi atas pagar tetapi pada
kali ini BN pula yang menampilkan calon muda.
"Selain faktor calon muda, faktor calon setempat sangat penting. Kena
akui ramai penduduk hendakkan calon setempat yang memahami masalah
mereka. Itu kekuatan penting dalam melaksanakan peranan sebagai wakil
rakyat.
"Dalam hal calon, kelebihan Suhaimi agak ketara manakala kekuatan Wan
Azizah kerana ia ada kaitan dengan Anwar. Mungkin PKR melihat Wan Azizah
calon terbaik kerana hubungan dengan Anwar," katanya kepada Bernama di
sini.
Mohd Azizuddin berkata selain itu, kedudukan Wan Azizah sebagai Adun
Kajang di Selangor sebenarnya memberikan satu bebanan kepadanya jika
terpilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Apatah lagi Wan Azizah yang pernah memenangi kerusi Parlimen kawasan
itu pada Pilihan Raya Umum 1999, 2004 dan 2008, bertindak meletakkan
jawatan pada 2008, kerana mahukan suaminya bertanding pada PRK yang
diadakan selepas itu, dan seterusnya menjadi Ketua Pembangkang.
"Banyak kritikan terhadap keputusan Wan Azizah untuk bertanding kali
ini, bukan hanya daripada BN tetapi banyak pihak. Penduduk di Kajang
juga ada rasa tidak puas hati kerana beliau tidak perform.
"Berat bebanan yang perlu beliau uruskan. Itu isu yang utama. Jika
beliau menang di Permatang Pauh, banyak perkara yang terbatas. Beliau
tidak boleh kata akan ada orang yang tolong menjaga kawasan. Peranan
wakil rakyat berkaitan isu-isu semasa. Kalau peranan wakil rakyat tidak
dilaksana sepenuhnya, rakyat yang akan berhadapan dengan masalah,"
katanya.
Bagaimanapun, Mohd Azizuddin mengakui dengan meletakkan seseorang
daripada keluarga Anwar, ia satu kelebihan kepada PKR dalam mengekalkan
pengundi-pengundi tegar yang selama ini menyokong Anwar.
PRK Permatang Pauh kali ini dilihat sengit. Sebelum BN mengumumkan
calonnya banyak pemerhati politik dan umum beranggapan PKR mampu menang
selesa tetapi tindak tanduk PKR dan Pakatan Rakyat dalam kempen PRK
menunjukkan mereka seakan-akan mengakui calon BN kali ini betul-betul
"mencabar mereka".
Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP menangguhkan
Persidangan Dun dijadual pada 5 hingga 8 Mei kepada selepas PRK iaitu 11
hingga 15 Mei, seolah-olah memperlihatkan kegusaran mereka.
Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang Datuk Jahara Abdul Hamid berkata
penangguhan itu bertujuan mengelak menjawab isu hangat dibangkitkan BN
ketika kempen PRK sedang berjalan dan juga bagi membolehkan pemimpin PR
menumpukan kepada usaha berkempen.
"Sewaktu PRK Parlimen Bukit Gelugor (Mei tahun lepas), Dun bersidang
seperti biasa dan tidak ditangguh, mungkin kerana BN tidak bertanding.
Kali ini (PRK Permatang Pauh), berdepan dengan BN, mereka jadi pengecut," katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Mohd Azizuddin berkata dalam keadaan BN yakin mampu menamatkan
penguasaan PKR di Permatang Pauh selama 17 tahun, BN perlu lebih fokus
kepada isu yang dieksploitasi oleh pakatan pembangkang seperti isu Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST).
BN perlu menerima hakikat bahawa isu GST sedikit sebanyak boleh
mempengaruhi pengundi di kawasan Permatang Pauh, jika tidak ditangani
dengan baik, katanya.
PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei, menyaksikan pertandingan empat
penjuru antara Suhaimi, Dr Wan Azizah, Salleh Isahak (Bebas) dan Azman
Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia. Kawasan Parlimen Permatang
Pauh mempunyai 71,890 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus adalah
Melayu.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan
menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar, melalui anggota
keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil
rakyat kawasan itu.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan