MALAYSIAKINI
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini mengumumkan organisasi Gerakan Media Marah (GERAMM) sebagai haram.
Timbalan ketua pengarah jabatan itu, Datuk Yahaya Mohamad berkata,
setiap pertubuhan yang ingin menjalankan aktiviti secara sah di negara
ini mesti berdaftar dengan ROS mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Disebabkan GERAMM dianggap tidak berdaftar, ROS menyeru semua lapisan
masyarakat supaya tidak terpengaruh atau terpedaya dengan seruan
pertubuhan berkenaan.
Katanya, GERAMM menggerakan seruan kepada masyarakat untuk tidak berpuas
hati terhadap sekatan ke atas media, sama ada elektronik atau cetak.
"Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan undang-undang berkaitan boleh didenda tidak lebih RM5,000.
"Jika pelanggaran berlanjutan, denda tambahan bernilai tidak lebih
RM5,000 sehari boleh dikenakan," katanya dalam kenyataan bertarikh 25
April itu.
Sementara itu GERAMM berkata, mereka menyambut kenyataan ROS itu dengan gelak ketawa.
Jurucakapnya berkata, sejak awal GERAMM wujud, mereka memperkenalkan
gerakan berkenaan sebagai "perkumpulan longgar" untuk pengamal serta
aktivis yang mendukung kebebasan media.
"Kami juga menegaskan perjuangan menuntut kebebasan media bukanlah
seruan yang perlu dibimbangi kerana ia memberi manfaat kepada semua
pihak dalam amalan demokrasi yang sihat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan