Othman Mustapha Datuk Othman Mustapha ‎pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Tadbir Agama Daerah Peringkat Kebangsaan 2015 di Hotel Citrus, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
 
 
 
KUALA LUMPUR - Tidak timbul soal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu menyokong usaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk membawa Rang Undang-undang (RUU) Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah ke Parlimen.

Demikian kata Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha sambil menegaskan usaha meminda Akta 355 Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) sudah diperjuangkan agensi kerajaan itu sejak 80-an lagi.

Beliau juga berkata pihaknya juga telah menasihatkan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas sebelum mereka meminda Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II 1993 (Pindaan 2015) dalam persidangan Dun Kelantan, pada 18 Februari lalu.

"Akta 355 iaitu peluasan bidang kuasa kadar hukuman ini memang telah dibincang dalam Jawatankuasa Teknikal Syarak Sivil, yang asalnya dipengerusikan oleh Allahyarham Tan Ahmad Ibrahim tahun 80-an lagi.

"Jawatankuasa ini yang mengubal undang-undang Islam yang dipakai di negara kita, bahkan draf yang digubal jawatankuasa ini telah diambil oleh negara-negara luar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Tadbir Agama Daerah Peringkat Kebangsaan 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendapat sokongan Ahli Parlimen Islam dari BN dan PR apabila RUU Persendirian mengenai bidang kuasa mahkamah syariah itu dibentang pada persidangan Dewan Rakyat pada Mei ini.

Abdul Hadi pada Rabu lalu dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian juga berkata Pindaan Akta 355 hanya memerlukan majoriti daripada Ahli Parlimen Islam untuk membolehkan bidang kuasa mahkamah syariah itu diluluskan.

Sementara itu, Othman juga berkata, Jakim menafikan jika hukum hudud tidak dilaksanakan di negara ini akan menjejaskan status Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau berkata walaupun kerajaan tidak dapat melaksanakan hukum hudud, namun hukuman takzir boleh dilaksnakan ke atas orang Islam.

"Tidak (betul), bukan tiada hudud itu tidak Islam, dalam melaksanakan hudud itu, di bawahnya ada takzir, sekarang ini kerajaan telah melaksanakan enakmen-enakmen hukum takzir.

"Makna sudah ada, itu diberi oleh hukum maknanya kita tidak dapat melaksanakan hukum hudud, tetapi kita dapat melaksanakan hukum takzir," katanya lagi.