PRK Permatang Pauh
 
 
 
BUKIT MERTAJAM - Kemelut antara parti dalam PR berhubung isu hudud dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dijangka meninggalkan kesan mendalam dalam usaha PR meraih sokongan pengundi Melayu.

Dengan pengundi Melayu melebihi 50,000 orang atau 70 peratus daripada 71,820 pengundi di kawasan berkenaan, polemik itu boleh mengundang padah jika pengundi Pas yang menyokong pelaksanaan hudud kecewa terhadap pendirian PKR dan DAP.

Mereka boleh menunjukkan bantahan dengan tidak mengundi calon PKR yang bertanding di kawasan kubu kuat parti itu, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamad berkata berikutan perkembangan terkini, sokongan pengundi Melayu kepada calon PKR dijangka menurun kepada sekitar 20 peratus berbanding 45 peratus yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya umum 2013.

Keadaan itu timbul berikutan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Mac lepas bahawa DAP tidak boleh lagi bekerjasama dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak jujur dan tidak bermaruah berhubung pembentangan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Lim dilaporkan berkata DAP akan menolak rang undang-undang berkenaan apabila dibentangkan di Dewan Rakyat kelak kerana ia tidak dirujuk kepada Majlis Pimpinan PR terlebih dahulu untuk perbincangan.

Ahmad Marthada berkata penyokong-penyokong Pas dan Melayu 'atas pagar' serta pengundi di Permatang Pauh berkemungkinan menunjukkan bantahan mereka dengan sama ada menyokong calon Barisan Nasional (BN) atau tidak keluar mengundi pada 7 Mei depan.

Beliau menjangkakan ramai dalam kalangan pengundi bukan Melayu pula pada pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak akan keluar mengundi sebagai membantah kepincangan dan pertikaian berterusan di kalangan parti pembangkang sejak berakhirnya PRU13.

"Walaupun pengundi Cina yang berjumlah 23 peratus itu (16,472) dikategorikan sebagai penyokong tegar pembangkang, tetapi saya menjangkakan ramai dalam kalangan mereka tidak akan keluar mengundi sebagai tanda protes," katanya kepada Bernama.

Dalam mesyuarat agung kawasan sebelum ini, Pas Permatang Pauh mempertahankan keputusan pucuk pimpinan parti dengan menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya dalam PRK ini.

Mereka turut memberi tempoh sehingga hari penamaan calon, 25 April ini, atau berdepan risiko tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pas Permatang Pauh.

Yang Dipertua Pas Permatang Pauh Omar Hassan tetap dengan pendirian yang dicapai dalam mesyuarat bahagian itu baru-baru ini untuk hanya menunggu arahan Abdul Hadi berhubung gerak kerja bahagian itu dalam PRK.

Katanya Pas kawasan itu tidak akan mengambil kira pandangan atau arahan sama ada daripada Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden parti Mohamad Sabu, ataupun pengarah pilihan raya Pas bagi PRK berkenaan iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurut Omar, mereka tidak mahu mengambil kira pandangan Mujahid kerana tidak pernah bertemu Pas bahagian itu sebelum memberi pandangan bahawa Pas tidak akan menyentuh isu hudud dalam kempen pilihan raya kecil ini.

Pas Permatang Pauh masih berpegang kepada keputusan mesyuarat agung bahagian itu 19 April lepas supaya Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menarik balik kenyataannya tidak menyokong rang undang-undang itu.

Omar dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa sebagai seorang yang beragama Islam, Dr Wan Azizah harus menyokong undang-undang itu, dan bukannya mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan pelaksanaannya sebab kenyataan itu mengguris hati umat Islam.

Beliau juga tidak melayan usaha Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang yang sanggup mengetepikan persengketaan sementara bagi menumpukan kepada PRK kali ini kerana Pas Permatang Pauh hanya akan menerima permohonan maaf Dapsy Pulau Pinang kepada Abdul Hadi.

"Kalau dia hormati presiden, dan turut membuat permohonan maaf, maka kami juga tidak akan ada masalah," katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan kawasan Jamsari Samad berkata sukar bagi mereka untuk bekerjasama dengan PKR sekiranya terus berlaku percanggahan pendapat tentang hudud, kerana ia akan menyukarkan pihaknya memberi penerangan kepada pengundi beragama Islam sewaktu tempoh berkempen.

"Bila kami turun berkempen untuk dia (PKR), sudah tentu kesukaran itu akan berbalik kepada Pas sendiri," katanya.

Kenyataan Abdul Hadi dua hari lalu juga menunjukkan pendiriannya berhubung isu hudud apabila menegaskan parti itu lebih rela kalah dalam pilihan raya daripada menukar pendirian sama seperti PKR dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum hudud sebelum ini.

Dengan kedudukan undi yang ada, BN, yang meletakkan calonnya Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh Suhaimi Sabudin, Umno hanya memerlukan tambahan 12 peratus undi untuk memecahkan penguasaan PKR.

BN memerlukan 63 peratus pengundi Melayu kali ini untuk menang. Pada pilihan raya umum 2013, BN hanya mampu meraih 51 peratus undi daripada pengundi Melayu.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April manakala hari pengundian pada 7 Mei. – Bernama