HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 April 2015

Mat Sabu enggan komen PRK Rompin, Permatang Pauh jelas isu hudud

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
MUADZAM SHAH: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memilih untuk menjarakkan diri apabila ditanya pemberita samada PAS akan menerangkan isu pelaksanaan hudud di Kelantan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh, atau tidak.
 
Beliau kemudiannya meminta pemberita bertanyakan soalan itu kepada Datuk Ahmad Yakob memandangkan komitmen tersebut dikeluarkan Timbalan Mursyidul Am PAS itu.
 
"Itu kena tanya Ahmad Yakob. Saya tak keluarkan kenyataan itu, saya tak mahu komen," katanya kepada pemberita semasa menghadiri program bersama pengundi muda di Desa Teratai, malam tadi.
 
Beliau menegaskan, apa yang pasti kempen PAS pada PRK kali ini tetap mengetengahkan isu utama untuk menyerang Umno-Barisan Nasional (BN), seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pembaziran kerajaan, isu FELDA dan sebagainya.
 
"(Ketengahkan) isu sanggul Rosmah, isu GST, isu perkahwinan (anak perempuan Perdana Menteri), ketirisan, pembaziran, rasuah dan isu yang berkaitan," tambah Mohamad.
 
Antarapos semalam melaporkan Ahmad sebagai berkata PRK Rompin dan Permatang Pauh akan menjadi medan bagi PAS untuk memberi penjelasan dan kefahaman kepada orang ramai tentang hukum hudud.
 
Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, sehingga kini hasrat parti Islam itu untuk mempromosi undang-undang syariah berkenaan ketika berkempen dalam dua PRK berkenaan tidak mendapat tentangan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
 
"Dalam dua pilihan raya kecil ini, di samping menyentuh isu CBP (Cukai Barang dan Perkhidmatan), kami mahu mempromosi hukum syarak itu. InsyaAllah," kata Ahmad.
 
Bagaimanapun reaksi yang diberi Mohammad Sabu atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu membayangkan isu hudud tidak menjadi agenda PAS dalam kempen pada PRK Rompin atau Permatang Pauh.
 
Isu hudud menjadi duri dalam daging Pakatan Rakyat (PR) berikutan hasrat PAS untuk melaksanakan udang-undang kanun jenayah syariah itu ditentang rakan sekutunya, PKR dan DAP.
 
Hubungan antara ketiga-tiga parti dalam gagasan pembangkang itu bersabit isu hudud masih belum pulih sepenuhnya ekoran PAS tetap mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei manakala PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei.
 
 

Tiada ulasan: