shahbudindotcom
Setelah
melakukan pelbagai serangan dan kritikan terhadap Najib Razak melalui
media dan banyak tulisan di blognya, buat pertama kalinya Tun Mahathir
Mohamad akan "turun padang" menemui kelompok sasarnya.
Beliau akan hadir dalam program Bicara Negarawan untuk memperkatakan isu-isu semasa pada Sabtu, 25 April ini jam 9.30 pagi di K Klub, Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Ini
adalah program pertamanya turun ke bawah untuk bercakap secara langsung
mengenai isu-isu semasa yang mana sebelum ini kebanyakan persoalan
mengenai Najib hanya disentuhnya melalui tulisan atau ketika sidang
akhbar saja.
Hakikat
ini segera mengingatkan kepada apa yang dilakukannya ketika menekan Tun
Abdullah dulu di mana beliau turut mengadakan program jelajahnya ke
seluruh negara bagi tujuan itu.
Apakah dengan program Bicara Negarawan ini bermakna program jelajah Tun Mahathir versi menyingkirkan Najib sudah bermula?
Program
anjuran Gabungan NGO Prihatin ini terbuka kepada sesiapa saja dan
dijangka akan dihadiri oleh ribuan ahli orang Melayu dan ahli UMNO
peringkat akar umbi untuk mereka mendengar sendiri apa yang bakal
diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Bercakap
tentang isu-isu semasa dalam program tersebut, Tun Mahathir tentunya
akan menjadikan Najib yang dibelenggu dengan isu 1MDB, Sirul, Rosmah,
GST, hutang negara, 1Malaysia dan lain-lain sebagai subjek utamanya.
Selepas melakukan banyak serangan dan pembalunan, yang ditunggu-tunggu ialah apakah esok Najib terus dibalun lagi?
Apakah Tun Mahathir juga akan tampil dengan pendedahan dan maklumat baru untuk terus menekan Najib?
Dengan
bermulanya beliau turun padang di Taman Melawati ini, ia tentu saja
akan memancing keinginan pihak lain untuk terus menjemputnya ke tempat
atau negeri lain pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan