HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2015

MAS baharu tidak perlu ramai pekerja

SINAR HARIAN

MAS MAS
 
 
 
KUALA LUMPUR - Kemunculan Malaysia Airlines (MAS) yang‎ baharu hasil daripada pelan pemulihannya yang kini berjalan, turut menyaksikan laluan penerbangan antarabangsanya dikurangkan yang pastinya mengecilkan bilangan pekerjanya, kata para penganalisis.

Antara lain, Pelan Pemulihan 12 perkara diumumkan Khazanah Nasional Bhd pada Ogos tahun lalu, melibatkan aspek rasionalisasi rangkaian penerbangan kebangsaan itu untuk lebih fokus di serantau namun tetap berteraskan rangkaian global yang kukuh menerusi persepakatan OneWorld.

Sabtu lalu misalnya, MAS mengumumkan penamatan laluan Frankfurt dengan penerbangan terakhirnya pada 29 Mei ini atas alasan ia sebahagian langkah‎ strategi menyeluruh untuk lebih bersifat serantau.

Malah, sebelum ini, penganalisis penerbangan Maybank Investment Bank, ‎Mohshin Aziz, menyuarakan jangkaannya bahawa MAS akan menamatkan sehingga enam‎ laluan antarabangsanya iaitu Paris, Amsterdam, Frankfurt, Istanbul, Dubai dan ‎Kunming - sejajar usahanya untuk menumpukan laluan serantau di Asia serta di Australia.

Mohshin turut menjangkakan laluan lain yang mungkin ditamatkan atau dikurangkan adalah Sydney, Melbourne, Darwin, Brisbane, Kochi serta Osaka.

Khazanah Nasional yang memiliki kepentingan 100 peratus dalam MAS, dalam perkembangan terbaharunya terhadap pelan itu berkata MAS baharu juga akan menyaksikan rasionalisasi agregat kapasiti lebih 10 peratus tahun ini dengan‎ menumpukan laluan domestik serta serantau yang lebih menguntungkan.

Langkah pengukuhan rangkaian jangka pendek berkenaan dijangka dapat‎ menguatkan kedudukan kewangan penerbangan dan seterusnya memantapkan keupayaan‎ pertumbuhannya pada kadar tahunan melebihi lima peratus bagi tempoh 2015-2020.

Rancangan MAS mengembangkan kapasiti laluan domestik serta Asean sebanyak 6-8 peratus setahun serta di Asia Pasifik sebanyak lima peratus, juga dilihat‎ bertujuan memantapkan jaringan hab Kuala Lumpur.

Kalangan penganalisis turut optimis mengenai pelaksanaan Dasar Langit Terbuka Asean pada 2015 yang disifatkan dapat memacu pertumbuhan dan pembangunan industri penerbangan kerana membuka lebih banyak persaingan di pasaran.

Malah, berdasarkan senario itu, beberapa syarikat penerbangan berkemungkinan terpaksa mengurangkan bilangan pekerjanya. Sudah pasti, sebagai pasaran penerbangan tunggal di rantau ini, ia juga mungkin menjurus kepada pengurangan kekerapan serta lalun bagi syarikat penerbangan tertentu.

Presiden Pusat Penyelidikan Strategi Antarabangsa, Datuk Dr Chin Yew Sin, berkata MAS tidak mampu pulih jika ia terus memiliki tenaga kerja yang berlebihan.

"Bagaimana MAS dapat diselamatkan tanpa mengurangkan jumlah pekerjanya? Bagi saya, inilah peluang terakhir untuk MAS," katanya.

Menurutnya, di mana-mana pertubuhan atau syarikat sekali pun, pasti ada pekerja yang digelar 'deadwood' (kayu mati) atau yang tidak lagi mampu berkhidmat. Justeru, katanya, langkah mengekalkan golongan sedemikian akan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Usaha mengurangkan tenaga kerjanya adalah kunci kelangsungan MAS dan ini perlu dilakukan secepat mungkin. Namun, pada masa yang sama, pekerja yang diberhentikan itu perlulah dilatih semula untuk membolehkan mereka berkhidmat dengan majikan lain," katanya.

Chin turut menyifatkan MAS telah mengambil langkah yang adil serta saksama untuk berbincang dengan kesatuan sekerjanya sejak beberapa bulan lalu dalam usaha mengurangkan tenaga kerjanya serta melancarkan pelaksanaan langkah berkenaan.

Malah, tindakan MAS mewujudkan Pusat Pembangunan Korporat yang bertujuan melatih semula pekerja yang akan meninggalkan syarikat itu, sewajarnya dijadikan satu amalan industri yang boleh dicontohi sektor lain yang berdepan keperluan mengurangkan bilangan pekerja mereka.

Sementara itu, Presiden Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia, Aresandiran J, berkata, jika sebuah syarikat memutuskan ia hanya memerlukan 10 pekerja, maka pihak lain tidak seharusnya mempertikaikan tindakan itu atau menyoal mengapa ia tidak menggaji 200 atau 300 pekerja.

"Bagaimanapun, merujuk MAS, jika kesatuannya mengambil langkah tegas maka industri itu yang akan terjejas dan tempiasnya turut terkena kepada negara. Ini sebaliknya hanya menguntungkan negara jiran.

"Oleh itu, isunya bukan setakat antara majikan dengan pekerjanya tetapi juga kepentingan negara.
"Sebagai sebuah negara, anda menggalas tanggjungawab lebih besar kerana perlu memastikan perniagaan itu berdaya maju," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: