Roketkini.com
KUALA LUMPUR: “Apa-apa paksaan tanpa izin isteri adalah satu serangan terhadap hak wanita sebagai seorang wanita merdeka. Jika paksaan tanpa izin ini dipanggil rogol, maka ia adalah rogol.”
Demikian ulasan ahli akademik Dr. Farouk Musa menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa paksaan seks ke atas isteri bukanlah satu jenayah rogol perkahwinan dari kaca mata Islam.
Kenyataan Dr Farouk itu adalah susulan kepada kempen kesedaran jenayah rogol yang dimulakan ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin yang bertemakan “Rogol adalah rogol. Tidak ada alasan.”
Farouk yang juga pengasas Islamic Renaissance Front (IRF) berkata bahawa perbahasan mengenai rogol dalam perkahwinan Islam timbul disebabkan kepercayaan ramai yang berfahaman konservatif bahawa seorang wanita mesti taat terhadap setiap keinginan seksual suaminya.
Beliau menyifatkan ia sebenarnya adalah satu ‘kefahaman patriarki’ dalam perhubungan suami isteri dan status wanita dalam Islam.
“Bagi golongan ini, seorang wanita seolah-olah barang harta yang dimiliki suami dan si suami boleh gunakan dia seperti apa yang dia mahu. Mereka menganggap wanita bagaikan sebuah objek untuk melampiaskan kehendak nafsu suami.
“Kefahaman ini sudah terlalu lama dimasukkan dalam pemikiran segelintir lelaki dan wanita Islam, dan ini adalah sebab utama kenapa kita mendengar mengenai wanita yang sanggup secara sukarela pergi ke Syria untuk menyelesaikan kononnya kewajipan jihad seks,” jelas Farouk kepada portal The Malay Mail Online.
Sebelum ini, kumpulan Hizbut Tahrir melalui jurucakapnya dilaporkan berkata adalah menjadi dosa kepada seorang wanita yang tidak memenuhi kehendak seks suami walaupun si isteri dalam kepenatan.
Jurucakap Hizbut Tahrir itu juga mengatakan bahawa seorang suami tidak memerlukan keizinan isteri untuk menikmati seks dan tubuh badan isteri adalah hak kepada seorang suami muslim.
Kempen kesedaran jenayah rogol yang dimulakan minggu lalu atas inisiatif Pusat Khidmat ADUN Damansara utama dan NGO hak asasi AWAM.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan