GST
 
 
 
PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberitahu jumlah aduan harian yang diterima mengalami penurunan sebanyak 28 peratus bagi tempoh 27 April dan 28 April.

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad, analisis aduan harian untuk 28 April menunjukkan bahawa kenaikan harga atau perkhidmatan merupakan aduan tertinggi iaitu 69 peratus.

"Daripada jumlah tersebut, 10 aduan mengenai kenaikan harga barangan di pasaraya dan enam aduan di kedai runcit.

"Antara barang dan perkhidmatan yang telah diadu melibatkan majalah dan roti yang dikenakan GST. Ada juga aduan kenaikan harga di pasar tani libatkan peniaga telah kenakan caj GST ke atas mee kuning dan tauhu yang dijual," katanya pada sidang media di KPDNKK, hari ini.

Sejak 1 April hingga semalam, sebanyak 5,327 aduan berkaitan antipencatutan GST telah diterima.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pemeriksaan dan penguatkuasaan premis berkaitan caj perkhidmatan bagi 28 April melibatkan enam pemeriksaan dan tiada pengeluaran notis dikeluarkan.

Sementara pemeriksaan caj perkhidmatan secara kumulatif yang bermula dari 8 April hingga 28 April berjumlah 834 dan 93 notis dikeluarkan bagi tempoh sama.