HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 April 2015

ADUN DAP lancar kempen kesedaran ‘rogol adalah rogol, tiada alasan’

Digital-Poster-kempen-anti-rogol

Roketkini.com


PETALING JAYA: ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin hari ini melancarkan kempen digital ‘rogol adalah rogol, tiada alasan’ bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang jenayah rogol dan mengubah budaya menyalahkan mangsa.

Bee Yin berkata, kempen tersebut dilakukan dengan kerjasama All Women’s Action Society (AWAM), selaras kempen kesedaran mengenai gangguan seksual pada bulan ini.

“Secara purata, 3,000 kes rogol dilaporkan setiap tahun di Malaysia dan hanya dua daripada setiap 10 kes yang dilaporkan.

“Dalam erti kata lain, setiap 35 minit, akan ada seorang gadis atau wanita dirogol di suatu tempat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor ini berharap melalui kempen ini, ia dapat mendidik kesedaran orang ramai.

“Rogol hanya boleh dikurangkan apabila kita sebagai masyarakat mempunyai kesedaran lebih tinggi tentang betapa serius isu ini dan mula menangani tabu, mitos dan pemikiran yang memburukkan.

“Satu fakta yang perlu difahami dengan jelas adalah perbuatan rogol bukannya kesalahan mangsa, tetapi perogol.

“Ramai orang berfikir bahawa rogol adalah mengenai wanita, tetapi ia sebenarnya lelaki.

“Sebab itu sasaran utama kita dalam kempen digital ini adalah lelaki,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kadar pendakwaan yang begitu rendah dalam jenayah rogol, sedangkan kes yang dilaporkan amat tinggi.

Memetik statistik rasmi Kementerian Dalam Negeri dari 2005 hingga Julai 2014, sebanyak 28,471 kes rogol dilaporkan.

Dari jumlah itu, 16 peratus atau hanya 4,514 kes dibawa ke mahkamah, dan 2.7 peratus atau 765 orang didapati bersalah.

Tambah Bee Yin, mangsa rogol yang memerlukan bantuan atau mereka mengetahui maklumat berkenannya boleh menghubungi AWAM di talian 03-78770224.

Klip video kempen ‘rogol adalah rogol, tiada alasan’ boleh dilayari di pautan ini – Roketkini.com


Tiada ulasan: