HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Julai 2015

Anwar boleh elak konspirasi politik seks jika perjuang hudud 34 tahun lalu

 Oleh Zainal Salleh 

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Alhamdulillah, akhirnya Anwar Ibrahim dan ahli keluarganya kini sedar betapa hanya hukum Allah sahaja yang sempurna dan menjamin keadilan mutlak bagi setiap insan. 
 
Soal ini sudah dititipkan oleh Allah dalam pembukaan surah Annur yang mengandungi formula penyelesaian masalah yang dihadapi bekas Ketua Pembangkang Malaysia itu. 
 
Penegasan Allah: “Inilah suatu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan kamu menjalankan hukum ahkamnya. Kami turunkan di dalamnya tanda-tanda kebesaran Allah yang jelas, agar kamu ingat.”
 
Anwar Ibrahim menghadapi tuduhan (fitnah dari perspektif beliau) berhubung perlakuan seksnya. Natijahnya beliau dipenjarakan buat kali kedua dalam hidupnya atas tuduhan/fitnah yang sama.
 
Di segi teknikal perundangan Malaysia, kesalahan telah disabitkan ke atas beliau. Bagaimanapun Anwar dan keluarganya tekal mengatakan ia adalah konspirasi politik untuk membunuh kerjaya siasahnya. 
 
Jika di sudut undang-undang, “kebenaran” Anwar tidak dapat dipertahankan, Anwar dan familinya harus yakin bahawa masih ada jalan keluar untuk membenarkan penafiannya terhadap semua tuduhan. 
 
Allah membuka jalan dengan mengingatkan di permulaan surah Annur bahawa peraturan yang ditetapkanNya untuk umat manusia adalah “wajib manusia mukmin menjalankan hukum ahkamNya”.
 
Sebelum inipun Anwar dan familinya yakin dengan ketetapan Allah yang dimaksudkan. Namun oleh kerana perkiraan lain, terutama politik, beliau dan partinya, PKR, mengisytiharkan bahawa pelaksanaan hudud belum sesuai dilaksanakan dalam konteks Malaysia. 
 
Akibatnya, pembelaan percuma yang ditentukan Allah untuk Anwar dikesampingkan begitu sahaja oleh Anwar dan partinya sendiri. 
 
Jika tidak sudah pasti fitnah yang didakwa dipalitkan ke atasnya dengan mudah dibuktikan satu konspirasi. 
 
Formula Allah mudah: “Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat saksi, rotanlah mereka lapan puluh kali. (Annur: 4)
 
Abdullah Yusuf Ali dan tafsir al qurannya menyatakan hukuman yang sama harus dijatuhkan ke atas orang menuduh lelaki yang baik berzina atau melakukan seks di luar tabie.
 
Jika Anwar, keluarga, dan partinya dari mula penubuhannya yakin dengan jaminan Allah, sudah pasti beliau tidak ragu menjadikannya sebagai perjuangan utama parti itu.
 
Malah Anwar dan partinya tidak akan berani untuk melengah, apatah lagi menyanggah hukum Allah jika ia menghadapi keadaan di mana pihak yang menuduhnya (Saiful Bukhari Azlan) WAJIB dikenakan 80 sebatan rotan kerana gagal mengemukakan empat orang saksi. 
 
Espisod ini mengaibkan Anwar. Namun jika beliau percaya dan sudah perjuangkan soal pelaksanaan hudud ini sejak menyertai politik Umno sejak tahun 1981 dulu, tidak mungkin beliau masuk perangkap konspirasi ini.
 
Tujuh belas tahun hingga mencapai kedudukan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Anwar membiarkan jerangkap fitnah menganga menunggu masa memerangkap pemimpin sepertinya.
 
Malah apabila mendapat peluang kedua untuk membetulkan keadaan dan kembali aktif dalam politik, Anwar sedikitpun tidak bernafsu untuk meletakkan hukum Allah sebagai keutamaan perjuangannya. 
 
Deraan dan konspirasi seks cukup terang dipaparkan Allah dalam al Quran. Kisah nabi Yusuf dipenjarakan oleh fitnah seks seharusnya sudah digenggam sebagai azimat perjuangannya sejak terjun dalam kancah politik melalui ABIM.
 
Jika Anwar istiqamah, beliau seharusnya meletakkan perintah Allah dalam surah 
Annur ini sebagai keutamaan atau maqasid syariahnya. Malangnya, pendirian rasmi PKR dan Anwar, bukan mereka menolak hukum Allah tetapi ia belum sesuai dilaksanakan.
 
Jika tidak betapa mudah insan seluruh Malaysia menyaksikan apakah natijah permohonan qazaf yang pasti membebaskan Anwar. Sebab itu Wan Azizah melakukannya. 
 
Jika Anwar boleh bebas melalui proses ini. Betapa kagumnya insan sejagat pada keadilan sistem Islam. Anwar dan PKR sudah terlepas peluang untuk mengambil langkah dakwah paling indah.
 
Kini rakyat mula mempertikaikan pendirian presiden dan PKR apakah pendirian mereka terhadap hukum hudud. Wan Azizah memilih menuntut hak keadilan bagi Anwar melalui perintah qazaf. 
 
Jika Anwar, Wan Azizah dan PKR jujur, seharusnya mereka menyertai usaha PAS untuk memberi penjelasan mengenai prinsip dan pelaksanaan keadilan hukum Islam. 
 
PAS mahu melakukannya secara berperingkat sesuai dengan kefahaman rakyat semua agama dan bangsa. Sedihnya bukan sahaja tidak menyokong, ada pemimpin PKR yang menganggap hukum hudud adalah juzuk kecil dari Islam.
Oleh itu pelaksanaannya tidak perlu disegerakan. 
 
Kini bila Anwar dan keluarganya menyandarkan harapan pada hukuman qazaf untuk membebaskan Anwar, integriti mereka mula dipertikaikan rakan-rakan politik sendiri. 
 
PAS sedar ada banyak kekangan perundangan dan perlembagaan sebelum hukum Islam sepenuhnya dapat dilaksanakan dengan adil. Kini ia mahu supaya kuasa mahkamah syariah dilebarkan menurut prinsip al Quran. 
 
Alangkah indahnya jika Anwar bertegas menjadikan agenda hudud ini sebagai prasyarat sebelum beliau menyertai Umno 34 tahun lalu. Ketika itu Tun Mahathir amat berharap Anwar membantunya membangun Malaysia. 
 
Kini Anwar sudah terlalu kuat dijerut oleh nafsu politik untuk kuasa dan terpaksa banyak berkompromi dan apolegetik pada kaum dan agama lain. 
 
Ketika dia melangkah ke alama politik dahulu, prasangka dan prejudis kaum tidaklah begitu menebal seperti sekarang.   
 
Sikap toleransi dan saling menghormati begitu ampuh amat serasi dengan konsep lakum dinukum wali ya din – “untuk kamu agamamu, untuk ku agamaku”.
 
Namun masih belum terlambat membantu PAS mengukuhkan tapak  mengukuhkan sistem keadilan Islam. Setiap ahli politik muslim tidak kira dari PAS, PKR mahupun DAP wajib menyokong usaha ini.
 
Umno pun harus merebut peluang mendaulatkan sistem keadilan Islam ini. 
 
Fitnah dan konspirasi seks tidak terhad pada pemimpin dan bakal pemimpin muslim sahaja. Chua Soi Lek boleh menjadi dalil betapa ia boleh memusnahkan kerjaya politik seseorang. Ini adalah masalah sejagat.
 
 

Tiada ulasan: