HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2015

Ketika PBB Berusia 70 Tahun



Oleh BAHAROM MAHUSIN 


DUNIA bukanlah sebuah tempat yang sempurna. Konflik, krisis dan peperangan sentiasa berlaku dari masa ke masa, meletakkan jutaan manusia di kawasan-kawasan tertentu dalam risiko, kesengsaraan dan penderitaan.

Di seluruh dunia sekarang, menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dalam satu kenyataan minggu ini, terdapat 60 juta manusia yang terpaksa menjadi pelarian, diusir dari rumah, tanah dan negara mereka ekoran konflik dan peperangan.

Krisis imigran yang berlaku di Eropah sekarang yang menyaksikan terdamparnya beribu-ribu pelarian dari Asia Barat, Asia Tengah dan Afrika adalah manifestasi keadaan dunia yang penuh pergolakan, terutama di negara-negara berpenduduk Islam. Lihat sahaja situasi konflik di Syria, Iraq, Yemen, Afghanistan dan banyak lagi negara.

Pada masa yang sama, di banyak kawasan lain dunia, keamanan kelihatannya dapat dikecapi, terima kasih kepada PBB yang dalam beberapa minggu lagi, pada 24 Oktober 2015, akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-70.

Negara-negara Eropah yang terjejas teruk akibat Perang Dunia Kedua ketika PBB ditubuhkan pada 24 Oktober 1945 (seperti Jerman, Perancis, dan Itali) kini menikmati keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Jepun yang pernah kalah perang, misalnya, kini menyumbang sebanyak AS$323 juta (RM1.4 bilion) kepada bajet tahunan PBB.

Kemakmuran negara dunia nampaknya banyak bergantung kepada anjakan pemikiran, iaitu bagaimana penduduk negara itu menguruskan dan menyelesaikan perbezaan politik serta perbalahan mereka, dan pada masa sama sentiasa berusaha mengelak campur tangan pihak luar baik secara langsung atau tidak langsung.

Selepas 70 tahun penubuhannya, imbangan kuasa dalam PBB, khususnya Majlis Keselamatan, tidak menggembirakan banyak negara yang tiada kuasa veto, tetapi dalam dunia yang penuh perseteruan, PBB yang diuruskan oleh teknokrat dan dibantu kepakaran cendekiawan antarabangsa dalam agensi-agensinya, telah dapat mengekang konflik yang lebih besar daripada berlaku.

Pihak-pihak yang skeptikal dengan peranan PBB mungkin membuat pelbagai tuduhan terhadap badan dunia itu, tetapi sebelum mereka pergi lebih jauh dengan pandangan tersebut, elok mereka meneliti beberapa fakta.

Ketika PBB ditubuhkan pada musim luruh 1945 sebagai kesinambungan idea Liga Bangsa-Bangsa yang wujud tiga dekad sebelumnya dan menjadikan kota New York di Amerika Syarikat sebagai ibu pejabatnya, hanya terdapat 51 negara menganggotai pertubuhan itu. Kini keahlian PBB telah meningkat kepada 193 buah negara.

Keanggotaan dalam PBB tidak syak lagi sebenarnya telah mencetuskan aspirasi untuk banyak bangsa berusaha mencari dan memperjuangkan kemerdekaan masing-masing. Inspirasi PBB dalam dekolonisasi amat besar.

Malaysia sendiri mempunyai pengalaman yang mengesankan dengan PBB apabila ia memohon menjadi negara anggota PBB sebaik-baik sahaja mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957.
Kira-kira 17 hari kemudian, Malaya secara rasmi menjadi ahli PBB, dan sejak itu keanggotaan dalam PBB membawa kesan besar kepada negara yang baru merdeka itu.

Sejarah kewujudan

Untuk mengetahui betapa mustahaknya PBB kepada sesebuah negara dunia, seseorang itu harus meneliti sejarah kewujudan negara bangsa pada era moden pasca Perang Dunia Kedua.

Singapura ialah satu contoh yang dapat memperihalkan impak PBB kepada negara moden.

Apabila Singapura disingkirkan daripada Persekutuan Malaysia pada 1965 untuk menjadi negara bebas, sebagai sebahagian usaha bagi menutup kritik di dalam negeri dan di seberang laut, ia segera memohon menjadi negara anggota PBB. Singapura diterima menjadi negara anggota PBB yang ke-117 pada 21 September 1965.

Langkah menganggotai PBB telah memberi legitimasi kepada kemerdekaan Singapura.

Republik kecil itu kelihatannya begitu terhutang budi kepada PBB dan sentiasa berusaha untuk menayangkan penglibatannya dalam arena diplomasi antarabangsa menerusi badan dunia itu.

Dalam konteks pendekatan itu, ia menerbitkan sebuah buku khas berjudul, 50 Years of Singapore and The United Nations, yang menyusur galurkan penglibatan negara pulau itu dalam badan dunia tersebut.

Di dalam buku itu dicatatkan sedikit kekesalan iaitu Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew tidak pernah berucap pada Perhimpunan Agung PBB, walaupun beliau pernah beberapa kali ke New York bertemu Setiausaha Agung ketiga PBB, U Thant.

Dalam kes Malaysia, keanggotaan dalam PBB membawa negara persekutuan itu ke satu era baharu, daripada Persekutuan Malaya menjadi Persekutuan Malaysia, sebelum Singapura disingkirkan. Sejak daripada awal penglibatannya dalam PBB, para pemimpin Malaysia menyedari betapa pentingnya PBB dalam memastikan evolusi tataurus dunia dilakukan dengan cara aman, adil dan makmur.

Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia, berucap dalam siaran radio pada 24 Oktober 1969 sempena ulang tahun ke-24 PBB dengan menekankan bahawa adalah menjadi polisi Malaysia untuk memberi segala sokongan bagi menjayakan aktiviti pertubuhan pelbagai hala itu.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bagaimana Malaysia pada zaman itu mendapat bantuan yang agak banyak daripada PBB melalui agensi-agensinya seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Simbol kehebatan 

Agensi-agensi PBB itu membantu, antara lain, menjayakan projek Segitiga Jengka di Pahang yang menerima pinjaman RM570 juta melalui Program Pembangunan PBB (UNDP). Hari ini Jengka menjadi antara kawasan luar bandar di dunia yang dianggap simbol kehebatan program transformasi wilayah. Peneroka Felda dan keluarga mereka di Malaysia tentulah terkesima dengan fakta ini.

Malaysia juga ketika itu menerima bantuan kewangan untuk beberapa projek lain termasuk pembesaran Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya. Hari ini Universiti Malaya menduduki ranking ke-151 universiti terbaik dunia.

Menurut Allahyarham Tun Razak dalam ucapannya, apabila Malaysia berdepan dengan cabaran ekoran tuntutan Filipina ke atas Sabah, PBB menjadi tempat untuk negara menyuarakan isu-isu yang timbul bagi mencari perbincangan yang berterus terang dan rundingan secara damai.

Katanya: “Salah satu garis panduan dasar luar kita ialah kita sentiasa mempunyai rasa hormat penuh kepada kedaulatan dan integriti wilayah negara-negara lain. Sebagai balasan, kita minta hormat yang sama daripada mereka.”

Anak Allahyarham Tun Razak, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Perdana Menteri keenam Malaysia, juga adalah pemimpin yang yakin kepada peranan PBB dan cuba memberikan sumbangan yang terbaik kepada organisasi itu.

Di bawah kepimpinannya, Malaysia pada tahun lalu berjaya menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, iaitu satu daripada 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan, yang memberinya lebih peluang untuk mempengaruhi dasar dan keputusan yang dibuat oleh PBB.

Di PBB, dalam ucapan-ucapannya pada Perhimpunan Agung pertubuhan itu, Najib mungkin tidak sekontroversi sesetengah pemimpin dan bekas pemimpin dunia lain, tetapi beliau sentiasa memberikan perspektif Malaysia secara berhemah dan penuh kesederhanaan kepada badan dunia itu.

Banyak pihak membangkitkan tentang piagam dan struktur PBB yang kelihatan tidak adil, usang dan tidak bergerak dengan zaman, khususnya keanggotaan Majlis Keselamatan dan kuasa veto lima negara yang merupakan anggota tetap majlis itu (Amerika Syarikat, Rusia, China, United Kingdom dan Perancis), tetapi Najib dalam tiga kali kehadirannya pada Perhimpunan Agung PBB sebelum ini cuba melihat dunia secara realistik.

“Elok saya menegaskan komitmen Malaysia untuk menyumbang kepada usaha kolektif ini. Kita berbuat demikian dalam keyakinan kuat bahawa semua negara, tidak kira besar atau kecil, kaya atau miskin, mempunyai tanggungjawab bersama mencipta dunia yang lebih baik untuk hari esok,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung PBB tahun 2010.

Beliau memberitahu PBB pada tahun 2013 pula bahawa suara kesederhanaan dapat mengatasi kejahatan ekstremis, manakala pada tahun lalu, Najib mengingatkan bahawa “stabiliti tidak kekal, ia perlu dipertahankan secara aktif”.

Malaysia yang bertambah maju mungkin tidak lagi menerima bantuan secara langsung daripada PBB seperti yang pernah diperoleh pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, tetapi pada usia 70 tahun PBB, nampaknya pendirian Malaysia terhadap badan dunia itu masih konsisten. Berdasarkan sikap Najib yang akan sekali lagi berucap pada Perhimpunan Agung PBB pada 1 Oktober ini, kepada Malaysia ia tetap sebuah platform yang relevan untuk masyarakat antarabangsa. - utusan.com.my

Tiada ulasan: