HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2015

Huru-hara jika sekolah vernakular ditutup, kata aktivis pendidikan




Perhimpunan 'baju merah' baru-baru ini menyemarakkan semula seruan kepada kerajaan supaya menutup sekolah vernakular demi perpaduan kaum. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2015.Perhimpunan 'baju merah' baru-baru ini menyemarakkan semula seruan kepada kerajaan supaya menutup sekolah vernakular demi perpaduan kaum. – Gambar fail The Malaysian Insider,
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Walaupun Putrajaya beberapa kali memberi jaminan sekolah Cina dan Tamil akan dikekalkan, 'perhimpunan baju merah' baru-baru ini menyemarakkan semula seruan kepada kerajaan untuk menutup sekolah vernakular demi perpaduan kaum. 
 
 Sering menjadi topik perdebatan dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia, penyokong pendidikan satu aliran berhujah, semua murid patut diintegrasikan di bawah satu sistem persekolahan supaya mereka dapat didedahkan kepada kumpulan etnik berbeza sejak kecil.

Tetapi adakah benar dengan menutup sekolah vernakular, keharmonian kaum dapat dipertingkatkan?

Sesetengah orang Melayu dalam kumpulan pendidikan dan persatuan ibu bapa tidak bersetuju. Malah ada yang mengatakan, keadaan akan jadi huru-hara, lebih-lebih lagi dalam suasana politik masa kini. Ahli Parlimen DAP Zairil Khir Johari yang menerajui parti itu dalam perdebatan mengenai dasar pendidikan di Dewan Rakyat memberitahu The Malaysian Insider beliau percaya ia tidak akan ada kesan langsung.

"Orang kata sekolah vernakular patut dimansuhkan kerana ia tidak ada kepelbagaian kaum. Tetapi, sekolah Cina sekarang lebih pelbagai kaum berbanding sekolah kebangsaan.

"Di Kelantan, contohnya, purata 28% pelajar di sekolah Cina terdiri daripada bukan Cina," katanya.

Beliau berkata, dengan memaksa semua ibu bapa menghantar anak mereka ke hanya satu jenis sekolah, tidak semestinya akan mendedahkan mereka kepada kaum lain.

Ini kerana, masih terdapat banyak sekolah kebangsaan yang didominasi satu kumpulan etnik, disebabkan demografi penduduk di kawasan tersebut, katanya.

"Katakan ada sekolah kebangsaan di kawasan yang didominasi penduduk Melayu. Walaupun sekiranya tiada sekolah vernakular di negara ini, pelajar sekolah tersebut tetap semuanya Melayu," kata Zairil.

"Jadi mengapa mendesak untuk sekolah satu sistem? Ia tiada gunanya. Sebaliknya, kita patut menggalakkan pilihan, sistem pendidikan yang liberal serta lebih autonomi bagi sekolah."

Beliau berkata penyokong sistem sekolah satu aliran berhujah berdasarkan emosi dan tanggapan berbanding mengikut bukti empirikal.

"Katanya, jika anak kita pergi ke sekolah yang berlainan sistem, mereka tidak boleh bersatu atau bercampur pada masa depan. Tiada bukti menyokong hujah ini selain daripada ia satu tanggapan umum semata-mata.

"Kedengaran seperti intuitif, tetapi sebenarnya tidak. Menggunakan logik hujah tersebut, adakah ia bermakna semua graduan kolej Melayu adalah rasis?,” katanya.

Beliau berkata seseorang menjadi rasis disebabkan nilai diajarkan kepada mereka, bukan kerana sekolah yang dihadiri atau bahasa digunakan.

Perdebatan mengenai pendidikan vernakular hangat dalam politik Malaysia sekali sekala, selalunya merupakan sebahagian "racial posturing" oleh nasionalis Melayu.

Sementara itu, kumpulan pendidikan yang bercakap kepada The Malaysian Insider berkata, menutup sekolah vernakular hanya akan memburukkan lagi hubungan antara kaum.

"Jika anda mula memaksa ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan, saya rasa akan timbul perang saudara. Ia perlu semulajadi, sukarela," kata Pengerusi Parent Action Group for Education (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim.

Beliau berkata, sekolah vernakular dilindungi di bawah Akta Pendidikan 1996, dan berdasarkan interpretasi berbeza, ia juga dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, jika Putrajaya melanggar kedua-duanya, rakyat mungkin akan memberontak.
Koordinator Pertubuhan Ibu bapa dan Individu ke arah Mengkaji Semula Sistem Pendidikan (Aspires) Shamsudin Hamid bersetuju dengan pandangan tersebut.

"Kewujudan sekolah ini dibenarkan dalam Perlembagaan. Jadi, jika ia ditutup serta-merta, dalam suasana politik ketika ini, keadaan akan jadi huru-hara," katanya.

Mereka percaya kerajaan patut fokus kepada meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan supaya ibu bapa akan lebih suka menghantar anak ke sana secara sukarela.

Sekolah vernakular, kemudiannya akan lenyap secara semulajadi, walaupun ia akan mengambil masa yang lama, kata mereka.

Tetapi walaupun begitu, Azimah menafikan anggapan sekolah tersebut merupakan punca populasi Malaysia terbahagi.

"Saya tidak langsung rasa ia menghalang perpaduan. Terdapat kira-kira 1,000 sekolah vernakular di Malaysia berbanding 10,000 sekolah kebangsaan. Mengapa jadi defensif?," katanya.

Shamsudin berkata ibu bapa seharusnya sentiasa bebas memilih bagaimana hendak membesarkan anak mereka.

Bagi mereka yang mampu untuk memilih, sekolah kebangsaan tidak menjadi pilihan menarik kerana kemudahannya ketinggalan zaman, sukatan pelajaran tegar, kesesakan serta unsur Islamisasinya, katanya.
"Anda ingin semua rakyat Malaysia belajar di sekolah kebangsaan?

"Jangan menakutkan orang bukan Melayu dengan memberi lebih penekanan kepada aspek agama di sekolah, kemas kini kurikulum, berikan lebih pengiktirafan kepada guru dan perbaiki kemudahannya," kata Shamsudin.


Tiada ulasan: