KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 anggota polis dikerahkan sejak awal pagi
tadi sebagai langkah berjaga-jaga di Jalan Petaling, meskipun Presiden
Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju
mengesahkan perhimpunan kedua yang dirancang di lokasi berkenaan,
dibatalkan.
Sehingga jam 10.30 pagi tadi kelihatan polis berkawal di sekitar lokasi
berkenaan ekoran himpunan yang dikatakan dianjurkan oleh Gerakan Merah
bagi menyelesaikan beberapa tuntutan.
Tinjauan wartawan Antarapos mendapati peserta himpunan juga masih belum kelihatan setakat ini.
Aktiviti perniagaan di sini juga kelihatan berjalan seperti biasa
dengan para peniaga sibuk mengurus dan membuka premis masing-masing.
Sementara itu Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Asharuddin Ahmad yang
melakukan tinjauan pada pagi ini di sekitar Jalan Petaling meluahkan
rasa tidak setuju dengan himpunan yang diadakan ini.
"Kebanyakkan NGO Melayu pun tidak bersetuju sebab kebanyakan orang
Melayu, India dan Cina mahu hidup secara harmoni. Malah hal begini tidak
bagus untuk negara kita," katanya ketika ditemui media.
Semalam Ali Tinju mengumumkan pembatalan himpunan tersebut selepas disarankan oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian.
Malah Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Yunos juga ditahan
polis semalam di bawah Akta Hasutan berkaitan ucapannya selepas Himpunan
Baju Merah di Jalan Petaling.
Asharuddin dalam pada itu menyifatkan penahanan berkenaan sebagai suatu tindakan yang wajar.
"Dia merupakan satu ancaman perkauman. Sesiapa yang membuat ancaman harus diambil tindakan," katanya.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan turun ke Jalan
Petaling pagi ini sebagai membantah sebarang tindakan berunsurkan
perkauman di lokasi itu.
Antara yang kelihatan adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib
Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Himpunan yang diadakan pada hari ini bertujuan menyuarakan kegusaran
selepas tiada tindakan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ke atas penjualan barangan tiruan.
Malah ia juga bagi menuntut hak sama rata golongan peniaga tanpa mengira perbezaan kaum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan