SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
mengakui dirinya kini muak dengan 'pergeseran' dalaman yang melanda
parti PAS dan DAP.
Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Wan Azizah yang juga Presiden
PKR dilaporkan berkata, kemungkinan konflik dalaman antara dua gabungan
Pakatan Rakyat yang terkubur Jun lalu akan menjejaskan sokongan
pengundi kepada mereka pada pilihan raya umum akan datang.
"Macam-macam yang timbul dan kadangkala saya rasa seperti mahu
mengalah, tetapi apabila fikirkan perjuangan selama 16 tahun, saya
teruskan juga," kata Wan Azizah.
Ujar beliau lagi, pergeseran politik itu kian memburuk apabila berlaku perpecahan apabila PAS bertindak keluar daripada PR.
Lebih kritikal apabila PAS enggan untuk menyertai Pakatan Harapan yang
dibentuk 22 September lalu yang mengakibatkan tempat parti Islam itu
diambil alih Parti Amanah Negara, selain beberapa masalah yang melanda
DAP.
Pada masa yang sama, Wan Azizah juga mengingatkan semula semua parti
pembangkang bagaimana kerjasama dalam PR sebelum ini berjaya mengubah
persepsi penyokong parti terhadap PAS dan DAP.
Katanya, pengundi Cina dahulu mengganggap PAS sebagai ala-Taliban manakala DAP dilihat sebagai komunis oleh ahli PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan