SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan penubuhan Pakatan
Harapan pada 22 September lalu merupakan satu tindakan berani dalam
usaha membentuk permuafakatan politik baru.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, ia adalah langkah awal yang
memerlukan perbincangan serius selepas ini membabitkan ketiga-tiga parti
yang berpayungkan Pakatan Harapan (PH).
"Langkah awal ini perlu diikuti dengan dialog dan perbincangan terus
menerus dan serius dengan parti-parti politik yang ingin bersama PH dan
perbincangan tertutup dan terbuka dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
yang ingin memberi pandangan, kritikan serta teguran kepada PH.
"Sesungguhnya rakyat mahu melihat arah tuju PH dan yang paling penting
manifesto rakyat menjelang PRU14. Maka pandangan semua pihak termasuk
NGO, orang perseorangan atau kesatuan, perlu dikutip agar manifesto yang
akan dihasilkan benar-benar mantap dan dijulang secara bersama,"
katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu dalam pada itu menyeru kepada
semua ahli dan penyokong untuk terus berusaha memantapkan PH.
"Kita perlu melebarkan pengaruh serta menyebarkan segala maklumat yang
betul dalam memberi pengharapan kepada rakyat untuk membuat perubahan,
terutama dengan keadaan Malaysia sekarang yang cukup parah khasnya dari
sudut ekonomi dan perkauman," katanya.
Beliau dalam pada itu berharap, parti pembangkang dan NGO yang berminat
terus memberi seokongan kepada Amanah dalam dakwaannya yang mahu
menyelamatkan Malaysia daripada kemelut yang ada sekarang.
"Kita juga mengharapkan semua parti-parti pembangkang yang lain dan
juga NGO agar turut bersama dalam usaha menyelamatkan Malaysia dan
membebaskan penderitaan rakyat yang semakin menjadi-jadi akibat salah
laku, rasuah yang menjadi budaya baharu di negara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan