HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2015

Tanpa PAS, Pakatan Harapan hilang undi Melayu - Agus

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pakatan Harapan dijangka akan hilang pengundi Melayu khususnya Melayu konservatif sekiranya PAS masih enggan menyertai gabungan pembangkang baru itu.
 
Menurut penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof, ada beberapa faktor yang pada padangan beliau akan memburukkan gabungan berkenaan sekiranya tiada penglibatan PAS.
 
"Pakatan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu konservatif. Parti Amanah Negara (Amanah), parti baru yang ditubuhkan tetap boleh mendapat sokongan pengundi Melayu progresif, tetapi tidak sebanyak sekiranya Amanah kekal dalam PAS. Apatah lagi, jika PAS bekerjasama dengan UMNO, maka Pakatan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu yang banyak."
 
"Kedua, saya melihat Pakatan Harapan terlalu tergesa-gesa menubuhkan gabungan baru dan ia terlalu eksklusif. Sepatutnya Pakatan Harapan lebih berjiwa besar dengan merundingi terlebih dahulu kemasukan gabungan parti-parti baru dari Sabah dan Sarawak serta juga tidak meninggalkan PSM", katanya dalam Facebook rasmi beliau.
 
Malah usaha beberapa pihak untuk tidak menerima PAS dalam Pakatan Harapan juga tidak meninggalkan kesan terhadap parti berkenaan yang mempunyai pengundi setia, katanya.
 
"Bagi saya, untuk melenyapkan PAS dalam arus politik negara adalah mustahil kerana PAS adalah parti yang mempunyai asas ideologi perjuangan yang kukuh. PAS juga mempunyai cukup pengalaman dalam arus politik negara sejak tahun 1951 lagi," ujar pensyarah kanan UKM itu.
 
Justeru, katanya tindakan PAS untuk bergerak sendiri harus ditimbal balik oleh kepimpinan tertinggi parti itu kerana disifatkan terburu-buru. 
 
"Bolehkah PAS menang sebanyak kerusi yang dimenanginya dalam PRU lalu tanpa Pakatan? Jawapan saya, susah untuk PAS mengekalkan kemenangannya kerana komposisi pengundi negara memerlukan PAS juga mendapat sokongan pengundi bukan Melayu—sesuatu yang sukar untuk PAS memperolehinya tanpa Pakatan (Harapan)", ujar beliau.
 
PAS pada Selasa menegaskan tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang baru dilancarkan hari ini dan dalam masa sama tidak sesekali akan bekerjasama dengan DAP.
 
Kenyataan itu dibuat Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
 
Keputusan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan dibuat menerusi mesyuarat Dewan Harian PAS yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 
 
PAS juga tidak memerlukan kerjasama dengan DAP memandangkan hubungan dengan parti itu sudah putus, kata Takiyuddin.
 
Pakatan Harapan ditubuhkan pada 22 September lalu hasil persidangan meja bulat anjuran PKR yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
 
Gabungan bru pembangkang itu disertai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tanpa PAS.
 
 

Tiada ulasan: